amree07/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Berjaya Corporation Berhad menjelaskan operasi utama kumpulannya di Berjaya Hills Resort kekal berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa Pahang pada 28 September 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, tindakan berkenaan setakat ini hanya melibatkan langkah penutupan dan sekatan akses ke kawasan kuarters kakitangan, pusat dobi, taman arnab serta Taman Jepun.
Sebaliknya, beberapa kemudahan utama termasuk The Chateau Spa & Wellness Resort, Colmar Tropicale Hotel, Berjaya Hills Golf & Country Club serta rumah hijau di situ masih lagi tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa.
"Kami menjangkakan isu ini tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan, sekali gus memastikan aktiviti perniagaan teras di Berjaya Hills Resort dapat diteruskan," tambah Berjaya Corporation.
Makluman itu dibuat susulan pertanyaan Bursa Malaysia berhubung tindakan penguatkuasaan yang berkait dengan pertikaian berpanjangan antara Berjaya Hills Resort Berhad dan kerajaan Pahang mengenai isu kadar cukai tanah.
Berjaya Hills sebelum ini memaklumkan kadar cukai tanah tahunan naik 13 kali ganda kepada RM33.7 juta pada 2020, berbanding RM2.4 juta pada 2019, sebelum diturunkan kepada RM25.75 juta selepas 11 kali rayuan antara April 2020 hingga Disember 2022.
Artikel berkaitan: Aset disita: Berjaya Hills Resort sifatkan tindakan penguatkuasaan Pahang keterlaluan

Sementara itu menurut Berjaya Corporation, kira-kira RM42.65 juta cukai tanah dan penalti sudah dibayar di bawah bantahan bagi tempoh 2020 hingga 2026, sementara syarikat terus mendapatkan semakan lanjut terhadap kadar berkenaan.
"Peningkatan kos cukai tanah telah pun diambil kira melalui peruntukan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan masing-masing sejak kadar baharu berkuat kuasa pada 2020," jelas kumpulan berkenaan dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, kesan daripada kadar cukai tanah tahunan yang disemak diambil kira dalam penyata kewangan kumpulan bagi tahun kewangan masing-masing dan kadar baharu itu tidak memberi kesan operasi yang material kepada kumpulan.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri terbuka untuk berbincang dengan Berjaya Hills bagi menyelesaikan kemelut, namun sebarang rundingan perlu berpandukan undang-undang.
Pertikaian kini masih melalui proses undang-undang apabila Berjaya Hills memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Ogos 2026 selepas Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan menolak cabarannya terhadap kadar cukai tanah itu.
Permohonan tersebut jelasnya, dijadual didengar pada 8 Disember 2026. - DagangNews.com





