‘Berkawan sahaja dengan dia, tiada bibit-bibit cinta lokasi pun’

Entertainment
16 Oct 2026 • 10:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Berkawan sahaja dengan dia, tiada bibit-bibit cinta lokasi pun’

KUALA LUMPUR – Tidak nafi berkawan rapat, pelakon Siti Khadijah menegaskan hubungan dengan pelakon Amir Ahnaf sekadar teman sekerja, bukan bercinta seperti diperkatakan segelintir pihak.

Siti Khadijah atau nama sebenarnya, Siti Khadijah Abdul Halim , 27, menegaskan, dia tidak pernah menggunakan gimik cinta lokasi untuk mempromosikan drama atau filem lakonannya.

“Saya memang berkawan sahaja dengan dia. Kalau ada rezeki (berjodohan), adalah. Secara peribadi, saya tak pernah sekali pun nak ‘jual cinta’ untuk promosi projek.

“Saya utamakan hasil kerja dan persahabatan dahulu. Daripada persahabatan yang erat itu, mungkin penonton nampak keserasian kami berdua.

“Jadi lakonan kami tampak lebih akrab dan hidup. Tapi insya-Allah saya kuat, tiada bibit-bibit cinta lokasi pun berlaku,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kedai fizikal pertama NADA, di KL East Mall, semalam.

Mengulas pengakuan Amir di media sosial bahawa Siti Khadijah merupakan ‘crush’ atau pujaan hatinya, pelakon filem Khadam itu menganggap kata-kata berkenaan sekadar usikan.

“Ya, saya ada nampak sesi siaran langsung itu tapi pada saya, ungkapan crush itu sekadar pujian biasa sahaja dan tidak mempunyai maksud.

“Macam saya sendiri puji orang lain, contohnya saya suka baju awak, cantik tudung kakak. Itu sahaja, tiada yang serius pun,” ujarnya.

Pada masa sama, Siti Khadijah turut menyifatkan tindakan netizen dan peminat yang suka memadankan mereka seperti pasangan kekasih sebagai perkara lumrah dalam dunia hiburan.

Katanya, senario tersebut turut dilalui rakan seperjuangan lain terutama apabila bergandingan dengan pelakon lelaki yang masih bujang.

“Bukan zaman sekarang sahaja, era sebelum ini pun penonton dah biasa ‘ship’ kan pasangan pelakon bila mereka terbawa-bawa watak kami. Bagi saya itu perkara normal.

“Mengenai dakwaan orang nampak sisi berbeza atau saya lebih mesra apabila di sisi Amir, mungkin sebab perwatakannya yang kelihatan dominan.

“Saya sendiri pun agak dominan tetapi bila berkerja bersama, orang nampak dinamik itu. Lagipun dia kerap ada di set, jadi orang selalu nampak kami bersama,” katanya.

Terbuka ketika ditanya status peribadi, Siti Khadijah mengakui belum mempunyai teman istimewa berikutan jadual kerjanya yang terlalu padat.

“Saya enggan tergesa-gesa mencari pasangan hidup sebab hari-hari saya sibuk dengan kerja. Berkenalan dengan sesiapa itu ada, cuma saya tak mencari bersungguh-sungguh.

“Saya percaya orang yang betul akan hadir pada waktu tepat. Lagipun siapa kita untuk menolak ketentuan Tuhan, sebab yang memegang hati kita ialah Allah,” katanya.

Terdahulu, gosip antara Amir dan Siti Khadijah tercetus selepas mereka dilihat semakin mesra selepas membintangi drama Cinta Dalam Sekam. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Berkawan sahaja dengan dia, tiada bibit-bibit cinta lokasi pun’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved