
KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Syamim Farid menegaskan persahabatannya dengan Bella Astillah sudah terjalin sejak zaman persekolahan, jauh sebelum sahabatnya itu mendirikan rumah tangga.
Syamim berkata, meskipun jarang berkongsi kebersamaan mereka di media sosial, dia sentiasa mengikuti perkembangan Bella dan bersedia memberikan sokongan apabila diperlukan.
Menurutnya, keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan persahabatan mereka kepada umum dibuat kerana dia lebih selesa menjaga privasi kehidupan peribadi, khususnya hubungan dengan individu yang rapat dengannya.
“Saya dengan Bella sebenarnya sudah lama kenal, sejak sebelum Bella berkahwin lagi. Sudah lama sangat, sejak zaman sekolah. Memang sudah lama berkawan dengan dia.
“Sebenarnya, saya memang sudah bersama Bella sejak dahulu, tetapi saya jarang berkongsi di media sosial kerana bagi saya, kehidupan peribadi dan kawan-kawan yang betul-betul rapat dengan saya memang saya sangat-sangat jaga.
“Mungkin orang nampak kami jarang bersama, tetapi sebenarnya saya sentiasa ada dengan dia kalau berlaku apa-apa. Apa-apa sahaja yang berlaku kepadanya, saya memang akan mengikuti perkembangannya melalui telefon. Saya memang sudah ada dengan dia sejak dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai bentuk sokongan yang diberikan kepada Bella, Syamim mengakui pernah berkunjung ke rumah sahabatnya itu, namun memilih untuk tidak menghebahkan perkara berkenaan kepada umum.
Jelasnya, dia memahami sekiranya ada pihak yang mempersoalkan keakraban mereka kerana masyarakat hari ini terbiasa melihat kehidupan peribadi seseorang dikongsi secara terbuka di media sosial.
“Ada juga saya pernah datang ke rumahnya, tetapi kebanyakannya saya tidak kongsikan kepada umum. Sebab itulah mungkin ada orang yang kadangkala berasa pelik.
“Saya faham kerana pada zaman sekarang, zaman media sosial, semuanya kita kongsikan di media sosial.
“Tetapi bagi saya sendiri, jika sesuatu perkara itu sangat rapat dengan saya, saya tidak begitu mahu mendedahkannya kepada umum kerana saya benar-benar menghargai perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Syamim menyifatkan Bella sebagai wanita yang memiliki kekuatan dalaman dan kesabaran tinggi meskipun dilihat sebagai seorang yang lemah lembut serta baik hati.
“Dia seorang wanita yang sangat kuat. Saya memang boleh katakan dia seorang yang luar biasa, dengan tahap kesabaran yang sangat tinggi.
“Dari luar, dia kelihatan sangat lemah lembut dan baik hati, tetapi sebenarnya, dari segi dalaman, dia sangat kuat. Kita panggil dia wanita besi atau Iron Lady,” katanya.
Syamim turut meluahkan rasa syukur dan gembira melihat Bella kini menemui kebahagiaan bersama insan yang disifatkannya benar-benar menghargai sahabatnya itu.
Katanya, dalam sesebuah perkahwinan, kesabaran, komunikasi dan kesediaan untuk terus memilih pasangan dalam apa jua keadaan merupakan antara perkara penting bagi memastikan hubungan kekal utuh.
“Saya sangat-sangat gembira untuk Bella. Alhamdulillah, saya sangat-sangat gembira untuknya. Saya juga yakin YB sendiri akan menjaganya dengan baik.
“Saya sangat terharu kerana akhirnya Bella sudah bertemu dengan seseorang yang benar-benar menghargainya.
“Saya selalu cakap kepadanya, dalam perkahwinan, sebenarnya kita perlu sentiasa memilih antara satu sama lain, tidak kira apa-apa pun yang berlaku.
“Walau apa-apa pun yang terjadi, kita perlu sentiasa memilih antara satu sama lain. Kita perlu banyak bersabar dan berkomunikasi,” katanya.
The post Saya sudah berkawan dengan Bella Astillah sejak zaman sekolah lagi – Syamim Farid appeared first on Utusan Malaysia.






