ESOK umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha. Ibadah korban mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada sekadar penyembelihan lembu atau pengagihan daging. Ia merupakan simbol ketaatan seorang hamba kepada ALLAH SWT sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.
Kesanggupan Nabi Ibrahim AS untuk melaksanakan perintah ALLAH menjadi lambang pengorbanan yang tinggi nilainya dalam Islam. Pada pendapat penulis, inti pati sebenar hari raya korban ialah mendidik manusia supaya memahami bahawa setiap pengorbanan memerlukan keikhlasan, kesabaran dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.
Aidiladha juga mengajar manusia tentang nilai pengorbanan dalam kehidupan seharian. Pengorbanan ibu bapa membesarkan anak-anak, pengorbanan mencari rezeki, malah pengorbanan menjaga hubungan kekeluargaan agar terus erat.
Sambutan Aidiladha juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan sosial. Aktiviti melapah daging, memasak secara beramai-ramai dan mengagihkan daging korban kepada fakir miskin serta golongan memerlukan secara tidak langsung mewujudkan interaksi antara masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Dalam banyak keadaan, persiapan menyambut raya korban tetap meriah. Rumah menjadi lebih sibuk, ahli keluarga mula berkumpul dan pelbagai persiapan dilakukan secara bergotong-royong. Suasana seperti inilah yang menjadikan Aidiladha masih relevan sebagai medium mengeratkan hubungan kekeluargaan di tengah kehidupan moden yang semakin individualistik.
Keluarga penulis sendiri mempunyai budaya berkumpul, memasak dan makan bersama-sama. Tidak perlu tunggu perayaan atau majlis besar pun, kadangkala hujung minggu biasa sudah cukup untuk membuatkan dapur penuh dengan suara ketawa dan aroma masakan. Apatah lagi tahun ini kami adik-beradik berkorban lembu dan kambing, sudah pasti perancangan majlisnya lebih terperinci, rasa macam nak buat kenduri kahwin pun ada.
Sejak awal lagi kami telah berbincang tentang menu apa yang hendak dimasak selepas ibadah korban selesai. Semua orang ada peranan masing-masing. Tiada siapa yang duduk diam. Ada yang ditugaskan beli barang dapur, ada yang akan bawa peralatan dan kelengkapan masak dan ada juga yang dilantik jadi 'ketua tukang masak'.
Bagi penulis, inilah antara keindahan sebenar hari raya korban yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Lebih manis lagi, tahun ini, seluruh keluarga akan berkumpul di rumah penulis.
Sejak kecil, penulis melihat bagaimana arwah mak dan arwah bapa membuat persiapan raya korban dengan penuh kesederhanaan tetapi sangat meriah. Tidak semestinya rumah dihias mewah atau juadah terlalu banyak. Apa yang lebih penting ialah semangat berkumpul dan bekerjasama.
Penulis masih ingat bagaimana malam sebelum raya, kaum wanita sibuk memotong bawang, mengisar rempah dan merebus ketupat, manakala kaum lelaki pula mula memasang khemah kecil di luar rumah. Anak-anak pula berlari ke sana sini sambil sesekali dimarahi kerana terlalu bising.
Momen beginilah yang paling dirindui apabila usia semakin meningkat. Kemeriahan suasana dan gelak tawa adik-beradik ketika menyiapkan juadah sebenarnya lebih bernilai daripada sambutan itu sendiri.
Penulis percaya bahawa keindahan Hari Raya Aidiladha bukan hanya terletak pada ibadah korban semata-mata, tetapi bagaimana perayaan ini menyatukan hati manusia. Dari dapur yang panas, halaman rumah yang sibuk dan meja makan yang penuh dengan suara ketawa, lahirlah kenangan yang akan terus hidup dalam ingatan sebuah keluarga.
*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian






