
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular video memaparkan seorang wanita yang mendakwa mengalami kesukaran untuk melakukan penerbangan ke destinasi disebabkan menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang memiliki tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
View on Threads
JIM rujuk ICAO dan maklum balas diterima tak menghalang pelaksanaan tempoh PMA lebih 10 tahun
Terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular kesulitan perjalanan ke luar negara yang dialami oleh beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 Tahun.
Jelas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban pihaknya telah merujuk perkara tersebut kepada pihak International Civil Aviation Organization (ICAO) serta maklumbalas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun.
Ada beberapa pemegang PMA lebih 10 tahun berdepan masalah ketika pendaftaran, JIM tetapkan tempoh sah laku pasport maksimum 10 tahun
Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum PMA adalah selama 10 tahun sahaja.
“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkait keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” jelasnya.
emegang PMA lebih 10 tahun boleh tukar pasport secara percuma
Oleh itu berkuat kuasa serta merta, JIM bakal melakukan perkara berkenaan:
- Pengeluaran pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu tersebut diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan serta ICAO.
- Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
- Pemegang PMA yang terbabit akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport
- Jabatan akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.
Menurut beliau, JIM komited dalam memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik untuk memberikan kemudahan kepada rakyat dan memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilakukan dengan lebih lancar serta teratur.
Tempoh sah pasport yang panjang tak halang untuk buat penerbangan ke mana-mana destinasi luar negara
Sebelum ini memetik Berita Harian, Zakaria menjelaskan tiada halangan mana-mana negara untuk mengeluarkan pasport dengan tempoh sah selama atau lebih 10 tahun.
Menurutnya tempoh sah bagi pasport yang panjang tidak menghalang individu daripada membuat penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa.
Zakaria juga menafikan faktor di mana tempoh sah laku pasport yang panjang menjejaskan pengguna, khususnya apabila berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan kawalan sempadan.
Isu berkemungkinan timbul untuk urusan tempah tiket penerbangan
“Bagaimanapun, isu mungkin timbul dengan sebahagian syarikat penerbangan bagi urusan tempahan tiket sahaja dan kita memang terima beberapa aduan mengenai perkara ini.
“Dari segi kawalan sempadan, tiada isu (jika pasport dikeluarkan dengan tempoh sah laku selama atau lebih 10 tahun).
“Justeru, Malaysia memuktamadkan keputusan untuk mengehadkan tempoh sah laku pasport kepada 10 tahun maksimum, selain sudah membuat pemakluman kepada syarikat penerbangan antarabangsa,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Sarankan pemegang pasport selama 10 tahun yang nak ke luar negara beli tiket di kaunter
Sementara itu, Zakaria juga memaklumkan individu yang memegang pasport yang mempunyai tempoh sah selama 10 tahun serta mahu membuat penerbangan ke luar negara (laluan antarabangsa) perlu membuat urusan pembelian tiket di kaunter.
Menurutnya perkara itu membolehkan syarikat penerbangan berkenaan membuat pengesahan langsung mengenai tempoh sah pasport dengan tempoh sah selama 10 tahun.
“Kita tidak mengeluarkan dokumen sokongan bagi mengesahkan pasport dengan tempoh sah 10 tahun milik individu persendirian sebagai dokumen perjalanan sah.
“Mereka bagaimanapun hanya perlu membuat urusan pembelian tiket di kaunter, sekali gus membolehkan proses pengesahan dilakukan secara terus di situ.”





