Pengeluaran Pasport Tempoh Sah Lebih 10 Tahun Dihentikan - Imigresen

12 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengeluaran Pasport Tempoh Sah Lebih 10 Tahun Dihentikan - Imigresen

KUALA LUMPUR - Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah melebihi 10 tahun dihentikan serta merta, selepas beberapa pemegang pasport berdepan masalah ketika menggunakannya untuk perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa kes membabitkan pemegang pasport Malaysia yang menghadapi kesukaran ketika proses daftar masuk penerbangan di luar negara.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen (JIM) sebelum ini telah merujuk perkara berkenaan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mendapati tiada isu berkaitan pengeluaran pasport dengan tempoh sah melebihi 10 tahun.

Bagaimanapun, katanya, kekeliruan timbul apabila sesetengah syarikat penerbangan mentafsirkan keperluan perjalanan antarabangsa secara berbeza, khususnya berhubung syarat pasport perlu mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan.

“Susulan perkara itu, JIM memutuskan tempoh sah maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa akan dihadkan kepada 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan berkenaan dibuat bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan pelancong serta memastikan syarat tempoh sah pasport dapat dilaksanakan secara konsisten oleh syarikat penerbangan.

Sehubungan itu, pengeluaran PMA dengan tempoh sah melebihi 10 tahun akan digantung sehingga perbincangan lanjut diadakan bersama syarikat penerbangan dan ICAO.

Bagi rakyat Malaysia yang kini memegang pasport dengan tempoh sah melebihi 10 tahun, mereka dibenarkan menggantikannya secara percuma.

Pasport baharu yang dikeluarkan sebagai ganti akan mempunyai tempoh sah maksimum 10 tahun.

Zakaria berkata, pemegang pasport yang terjejas akan diberikan keutamaan dalam proses penggantian berkenaan. 

“JIM turut akan mengeluarkan makluman kepada syarikat penerbangan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan isu berkenaan ketika berada di luar negara.

“JIM juga akan terus berunding dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan perkara itu serta memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan antarabangsa tanpa berdepan komplikasi yang tidak sepatutnya,” katanya. - Getaran, 12 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved