Anak PATI umur 10 tahun jadi ‘tauke’ kantin di tapak binaan

LocalFamily & Parenting
12 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak PATI umur 10 tahun jadi ‘tauke’ kantin di tapak binaan

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia 10 tahun dikesan menjadi penjaga sebuah kantin di tapak pembinaan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) Melaka di Ayer Keroh, di sini.

Kanak-kanak dikenali sebagai Danish itu mendakwa dia terpaksa membantu menjaga kantin itu yang dimiliki oleh ibunya susulan wanita itu pulang ke Indonesia sejak lima hari lalu.

Ujarnya, dia bagaimanapun hanya membantu menjaga premis itu untuk waktu singkat sambil dibantu seorang wanita warga Indonesia, Faridah, 58, yang dipanggilnya ‘nenek’.

“Saya jaga kedai sementara sahaja ketika nenek pergi bekerja di kawasan pembinaan, tapi masa lain saya masuk ke dalam bilik main permainan video.

“Saya sebenarnya mahu pulang ke Indonesia tetapi belum dapat pulang kerana tiada wang,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sementara itu, Faridah yang turut ditahan dalam operasi berkenaan memberikan alasan terlupa memperbaharui pas perjalanan yang tamat tempoh sejak lapan tahun lalu dan mengakui telah menetap di Malaysia lebih tujuh tahun.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati sebuah bilik kongsi yang dipercayai menjadi tempat tinggal Danish bersama keluarganya dilengkapi kemudahan jalur lebar, penyaman udara dan rakaman televisyen litar tertutup.

Dalam operasi di tapak pembinaan berkenaan, seramai 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menyalahgunakan pas lawatan.

Dalam operasi berasingan di Bukit Baru pula, seramai 39 warga asing berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan, terdiri daripada 27 warga Bangladesh, tujuh Indonesia, tiga Pakistan dan dua Myanmar.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk salah guna pas, kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) dan Peraturan 15(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen.

Terdahulu, operasi tersebut turut disertai anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – KOSMO! ONLINE

The post Anak PATI umur 10 tahun jadi ‘tauke’ kantin di tapak binaan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved