Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah, dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.
Advertisement
Sumber foto : BERNAMA Menurut Noorin, hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil berkuat kuasa bermula hari ini.
Mahkamah Rayuan Dapati Pendakwaan Berjaya Buktikan Kes
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Datuk Radzi Abdul Hamid, panel hakim berpendapat terdapat alasan yang mencukupi untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.
“Terdapat kekhilafan menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Sebaliknya, kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.
Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) dari pertuduhan.”
Susulan itu, Mahkamah Rayuan menggantikan keputusan tersebut dengan sabitan di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Peguam Mohon Hukuman Ringan
Peguam yang mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim, memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira faktor usia serta tanggungannya sebagai pencari nafkah utama keluarga.

“Saya memohon hukuman yang ringan terhadap responden berdasarkan faktor usia serta tanggungan pendapatan yang tinggi perlu ditanggungnya.”
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara terhadap Ismahalil.
“Saya percaya umur responden melebihi 50 tahun tidak dikenakan hukuman sebatan. Jadi, saya mohon pertimbangan hukuman mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.”
Pernah Dibebaskan Mahkamah Tinggi Pada 2023
Pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil Hamzah, 53, daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika itu memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, sekali gus membebaskan pengasas Bapakku FM itu.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada jam 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Kini 'Free Hair' Berambut Merah, Penampilan Terkini Pelakon Dan Pelawak Jadi Tumpuan - "Ini Dugaan Saya, Dugaan Awak Belum Tahu Lagi"
The post Bersalah Edar Dad*h, Bekas Penyampai Radio Dipenjara 30 Tahun Bermula Hari Ini first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





