
Bersama Sasar 15 Kerusi Pada PRN Johor
Parti Bersama Malaysia mengumumkan hasrat untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan lebih separuh daripadanya merupakan kawasan yang dimenangi UMNO-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.
Menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini, parti itu memaklumkan pemilihan kerusi dibuat berdasarkan analisis demografi pengundi serta kecenderungan pola pengundian hasil kaji selidik dan data yang dikumpulkan sepanjang enam bulan lalu.
Antara kerusi yang dikenal pasti ialah DUN Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Menurut Bersama, keputusan itu turut mengambil kira tahap sokongan semasa terhadap parti berkenaan yang dapat dilihat melalui jumlah keahlian di peringkat Parlimen serta kecenderungan ahli di kawasan masing-masing.
Selain itu, proses pemilihan kerusi juga mempertimbangkan faktor kesesuaian calon termasuk dalam kalangan perintis parti di Johor serta sukarelawan lain.
Parti itu turut menggesa ahli dan orang ramai yang berminat untuk terlibat sebagai sukarelawan kempen di kawasan-kawasan terbabit supaya mendaftar lebih awal menerusi platform rasmi mereka.
Baca juga:“Sistem ejen undi telah dibuka untuk pendaftaran,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Bersama turut memaklumkan platform kempen bersepadu parti itu yang membolehkan ahli serta sukarelawan di seluruh negara memilih aktiviti pilihan raya mengikut tarikh, masa, lokasi dan jenis tugasan akan dilancarkan esok.
Menurut parti itu, pendekatan tersebut adalah sebahagian usaha untuk merintis model kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan besar, sebaliknya digerakkan menerusi penyertaan aktif ahli dan orang ramai secara sukarela.
Terdahulu, pemimpin Bersama, Rafizi Ramli memaklumkan seramai 73 individu telah menawarkan diri sebagai calon parti itu bagi PRN Johor, dengan senarai pendek calon dijangka diumumkan pada Jumaat ini.






