'Bersatu hadapi cabaran bersama' - DAP gesa ketepikan politik, fokus krisis Asia Barat

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 12:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kor Ming menyantuni pengamal media yang hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP Perak bersama media pada Ahad.

IPOH - DAP menggesa semua pihak mengetepikan perbezaan politik buat sementara waktu dan memberi tumpuan kepada krisis Asia Barat yang sedang memberi kesan kepada ekonomi serta bekalan global ketika ini.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, situasi semasa bukan krisis biasa, sebaliknya berpotensi memberi tempias besar kepada negara termasuk Malaysia.

Menurutnya, beberapa negara sudah mula berdepan kesan ketara seperti kekurangan bekalan minyak dan gangguan tenaga.

“Kita lihat negara seperti Filipina berdepan kekurangan bekalan minyak manakala di Thailand rakyatnya terpaksa beratur berjam-jam untuk mengisi minyak dan Bangladesh pula menutup institusi pendidikan kerana kekurangan tenaga.

“Justeru, ini bukan lagi masa untuk kita berpolitik atau memainkan sentimen. Ini masa untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu di bawah payung Madani bagi menghadapi cabaran ini bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DAP Perak bersama media di sini pada Ahad.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Tambah beliau, pemantauan ekonomi turut diperkukuh apabila Majlis Tindakan Ekonomi Negara kini bersidang setiap minggu bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Ketika kita mengambil pelbagai langkah menjaga rakyat, kita juga kena pastikan tidak ada anasir-anasir jahat yang sedang cuba memporak-perandakan negara atau cuba menimbulkan kucar-kacir sehingga hilang kestabilan.

"Bila negara kita terumbang-ambing, akhirnya rakyat sendiri yang menerima musibah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting media dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan seimbang.

Katanya, media perlu membantu membina naratif positif agar keyakinan rakyat dan pasaran dapat dikekalkan.

Dalam majlis dihadiri 65 pengamal media pelbagai agensi itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi menyokong aktiviti persatuan tersebut.