'Permohonan stay of execution tak jejas hak 40 peratus Sabah' - Mustapha

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 11:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mustapha (duduk, tengah) bersama pengamal media Sabah pada Program Santai dan Sungkai di Putatan.

PUTATAN - Permohonan kerajaan Persekutuan bagi penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) tidak menjejaskan hak 40 peratus Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan bahawa isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan terus menjadi perhatiannya kerana ia menyentuh hak perlembagaan negeri Sabah.

"Sejak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan perkara ini ditangani secara menyeluruh melalui proses perundangan serta rundingan antara kedua-dua pihak.

"Pada 14 November 2025, Peguam Negara telah memfailkan Notis Rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Selaras dengan itu, kerajaan Persekutuan juga telah memfailkan permohonan stay of execution di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan.

"Permohonan penggantungan ini tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah, sebaliknya bertujuan memberikan ruang yang sewajarnya kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan penelitian yang lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah," katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata demikian ketika berucap pada Program Santai dan Sungkai Media Sabah di sini pada Sabtu.

Katanya lagi, sejak November tahun lalu, beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil yang berkaitan.

"Dalam proses tersebut, kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh tahun 2007 hingga 2025.

"Pada masa yang sama, usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya dari tahun the lost years, yang sebahagian besarnya direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut.

"Perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah," katanya.

Tambah Mustapha lagi, permohonan penggantungan perintah mahkamah itu turut dibuat bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur.

"Ia juga untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk negeri Sabah.

"Di samping itu, tempoh 180 hari yang berkaitan dengan pelaksanaan perintah tersebut dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

"Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan (contempt of court) walaupun proses rayuan masih belum didengar. Permohonan penggantungan ini dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac 2026," katanya.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, pendirian kerajaan Sabah dan pihak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan 'stay of execution' tersebut harus dihormati.

"Dalam sebuah sistem demokrasi dan perundangan yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang wajar dan merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang.

"Namun demikian, saya percaya bahawa matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil.

"Justeru, saya berharap segala proses perundangan dan rundingan yang sedang berjalan dapat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, semangat kerjasama serta keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah," ujarnya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendedahkan dokumen berhubung tindakan kerajaan Persekutuan memfailkan Notis Usul untuk menangguhkan bayaran 40 peratus tersebut.

Susulan pendedahan itu, beliau menerima pelbagai respons daripada pelbagai pihak termasuk pendirian kerajaan Sabah yang akan membantah permohonan yang difailkan oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia (AGC) bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini.