MELAKA – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri pada 28 Mac ini akan diteruskan seperti dirancang.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu dibuat sebagai penghargaan kepada rakyat.
“Melaka akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri ini pada tarikh yang telah ditetapkan 28 Mac 2026, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada program moreh bersama pengamal media pada Jumaat.
Selain itu katanya, rumah terbuka beliau yang dijadualkan berlangsung pada 12 April depan juga akan diteruskan dengan mengundang kumpulan muzik Dewa 19 bagi menghiburkan pengunjung.
Beliau turut menjemput orang ramai, khususnya rakyat Melaka, untuk hadir memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memutuskan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dan bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana serta berhemat dalam perbelanjaan.
Selain pembatalan majlis rumah terbuka, Anwar berkata, menteri dan anggota pentadbiran turut dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.

