
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dalam komponen Perikatan Nasional (PN) meskipun didakwa diketepikan dalam beberapa perbincangan termasuk kerjasama antara gabungan itu dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa, Bersatu seakan dinafikan hak apabila banyak perbincangan tidak melibatkan parti tersebut.
Katanya, ia termasuk perbincangan mengenai pembahagian kerusi serta cadangan kerjasama dengan BN.
Beliau menyifatkan tindakan tidak melibatkan Bersatu dalam rundingan dengan BN sebagai perkembangan yang tidak sihat dalam hubungan antara parti-parti komponen PN.
“Persoalannya, mengapa Bersatu tidak dilibatkan? Adakah Bersatu tidak bersetuju atau sebenarnya bersetuju? Hak Bersatu sebagai parti komponen PN tidak sepatutnya diketepikan.
“Sehingga kini Bersatu masih parti komponen PN. Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah pengasas PN.
“Apabila pimpinan PN mengabaikan penglibatan Bersatu dalam pembincangan, termasuk soal pembahagian kerusi dan perkara itu tidak dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, sudah tentu kita berasa kecewa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau turut mempersoalkan rasional tindakan tersebut memandangkan Bersatu adalah antara tonggak utama penubuhan PN.
Jelasnya, kerjasama dengan BN yang diputuskan pimpinan PN adalah demi undi Melayu tidak pecah.
“Bagaimanapun, Bersatu tidak dibawa dalam perbincangan itu (kerjasama dengan BN). Apakah Wawasan lebih Melayu daripada Bersatu?,” soalnya.
Mengulas mengenai kenyataan Bersatu yang sedang mempertimbangkan jajaran politik baharu, Ahmad Faizal berkata, usaha menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain dalam Ikatan
Perpaduan Rakyat (IPR) adalah selaras dengan persetujuan yang pernah dicapai di peringkat kepimpinan PN.
“Mengenai jajaran baharu, terdapat pelbagai pandangan daripada semua pihak dan pimpinan parti sedang berusaha untuk bekerjasama dengan parti-parti dalam IPR.
“Perkara itu telah dipersetujui dalam pimpinan PN dan kita akan teruskan usaha tersebut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Bersatu membentuk jajaran muafakat politik baharu memberi gambaran jelas bahawa parti itu tidak lagi akan kembali bersama PN.
Katanya, pendirian itu bukan lagi perkara baharu memandangkan kenyataan mengenainya telah dimaklumkan secara terbuka oleh kepimpinan Bersatu.
“Berdasarkan kenyataan tersebut, saya tidak fikir Bersatu akan kembali bersama PN. Bersatu telah tegaskan akan membentuk muafakat politik baharu dan ia membawa makna Bersatu akan keluar daripada PN,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu akan dibawa berbincang bagi menghadapi PRN Melaka memandangkan ia masih lagi parti komponen PN buat masa ini, beliau berkata, Pas masih menunggu pengumuman tarikh PRN Melaka akan diadakan.
“Kalau ikut kenyataan Presiden Bersatu, parti itu akan membentuk pakatan baharu selepas selesai PRN Negeri Sembilan,” katanya.- utusan
The post Bersatu kekal dalam PN, bakal bentuk jajaran baharu appeared first on Utusan Malaysia.






