Bersatu mula buka pintu, tidak boleh bergerak solo

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersatu mula buka pintu, tidak boleh bergerak solo

MASA depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin sukar dibaca apabila parti itu berdepan tekanan dari dalam dan luar gabungan Perikatan Nasional (PN). Dalam keadaan hubungan dengan rakan sekutu semakin tegang, Bersatu kini mula melihat ke luar dan menimbang kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan parti atau gabungan yang mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan.

Khabar angin parti itu berhasrat menjalin kerjasama dengan Pakatan harapan (PH) tidak lagi boleh diketepikan walaupun terdapat pandangan daripada kalangan ahli PKR yang mengatakan ia hanya spekulasi yang tidak berasas. Sementara DAP pula terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

Namun, bagi Ketua Penerangan Armada, HARRIS IDAHAM RASHID berkata, Bersatu berdepan realiti yang tidak boleh dielakkan selain tidak mempunyai banyak ruang untuk terus bergerak sendirian jika mahu kekal relevan dan mempunyai peluang membentuk kerajaan.

Katanya, pengalaman bertanding secara solo juga memberi indikasi jelas yang kekuatan parti bukan hanya bergantung kepada jentera dan sokongan akar umbi tetapi turut dipengaruhi kedudukan dalam sesuatu gabungan.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA, beliau menjelaskan pelbagai pilihan sedang dipertimbangkan, bukan sekadar soal menentukan ‘rakan’ baharu malah turut menyentuh sejauh mana prinsip perjuangan dapat dipertahankan dalam percaturan politik serta kompromi yang sanggup dilakukan bagi memastikan parti kembali menjadi sebahagian daripada kuasa yang mampu membentuk kerajaan.

Sama ada Bersatu memilih untuk bertahan, mencari ‘payung’ baharu atau melakukan langkah yang selama ini sukar dibayangkan, pastinya keputusan itu bakal memberi kesan besar terhadap masa depan parti dan percaturan politik negara.

 


UTUSAN: Kenapa terlalu sayangkan PN sedangkan Bersatu dilayan seperti ‘anak diri’? Kenapa takut untuk meninggalkan gabungan itu?

HARRIS IDAHAM: Selepas Pas mengambil alih kepimpinan, kita tidak menyangka PN akan diperlakukan sebegini sehingga Bersatu hampir diketepikan. Sudah tentu kita sedih melihat hasil usaha yang dicurahkan dalam membina PN berdepan keadaan seperti ini.

Kalau mengikut situasi sekarang, PN juga merupakan hasil titik peluh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, kini Bersatu seolah-olah menjadi ‘anak tiri’ dalam PN. Jadi, persoalannya, mengapa masih mahu kekal sedangkan kita sudah melihat ruang untuk melakukan sesuatu semakin terhad?

Berdasarkan perkembangan semasa, memang kelihatan jelas Pas dan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sedang bekerjasama rapat untuk memastikan Bersatu dilayan dengan buruk dalam PN. Saya melihat keadaan ini sebagai usaha untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN.

Perkara itu mencapai kemuncaknya dalam PRN Negeri Sembilan lalu. Bagaimanapun, Bersatu memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan dasar yang besar.

Kami sedar kedudukan Bersatu dalam PN semakin hari semakin tidak disenangi oleh kumpulan Hamzah dan Pas. Namun, sebelum mengambil langkah lain, Bersatu perlu memastikan segala usaha sudah dilakukan sedaya upaya untuk mempertahankan hubungan dalam PN.

Sekiranya semua ikhtiar sudah dibuat tetapi tidak berhasil, ketika itulah Bersatu akan menentukan sama ada mahu terus kekal dalam PN atau mengambil keputusan lain.

 

Bagaimana dari segi Perlembagaan PN?

Dalam Perlembagaan PN, tidak mudah untuk mana-mana parti keluar kerana dalam gabungan itu tidak wujud konsep ‘abang besar’ atau satu parti yang mempunyai kuasa mutlak. Setiap parti mempunyai kedudukan dan hak masing-masing.

Jadi, tindakan Bersatu menyingkirkan Pas atau Pas menyingkirkan Bersatu bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah. Namun, Bersatu dan PN tentunya menyedari apa yang berlaku pada PRN Negeri Sembilan menyukarkan gabungan itu untuk terus bergerak seperti sebelum ini.

 

Dalam keadaan sebegini, bagaimana Bersatu mahu berdepan beberapa lagi PRN dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti?

Bersatu pada saat ini bersedia untuk sebarang kemungkinan. Apabila Bersatu ambil keputusan untuk bertanding solo di Negeri Sembilan bermaksud parti tidak takut soal kalah atau menang tetapi lebih mementingkan soal prinsip perjuangan dan juga maruah parti.

Berbalik kepada soalan sama ada Bersatu takut untuk meninggalkan PN, tidaklah, ia akan membuka ruang dan peluang untuk Bersatu memikirkan kemungkinan-kemungkinan lain yang ada dalam politik negara sama ada bersama gabungan lain atau wujudkan gabungan baharu.

 

Adakah ini termasuk bekerjasama dengan PKR/PH?

Apabila Bersatu bukan lagi parti komponen PN, semua kemungkinan boleh berlaku dan parti ini juga tidak boleh menolak sebarang kemungkinan untuk menyertai gabungan sedia ada ataupun untuk memikirkan gabungan baharu tetapi tentunya perkara-perkara ini harus dibincang lanjut.

 

Pendirian Armada?

Belum ada ketetapan soal ini kerana kita masih lagi dalam PN tetapi Armada juga merasakan Bersatu tidak boleh bergerak solo untuk jangka masa panjang.

Armada juga merasakan Bersatu harus berada dalam jalur arus perdana politik Malaysia. Dalam erti kata lain Armada merasakan Bersatu harus bersama dalam satu ‘payung besar’ sama ada yang sudah tersedia atau bakal ditubuhkan.

Bersatu harus berada dalam pasukan yang mampu membentuk kerajaan. Sekiranya Bersatu bergabung dengan PH, bermakna parti itu perlu menerima beberapa kompromi yang perlu dibuat.

Jika Bersatu tidak boleh menerima kompromi sedemikian, maka kerjasama itu tentunya sukar untuk direalisasikan. Sebab itu, perkara yang perlu diperhalusi ialah sejauh mana kompromi tersebut boleh diterima oleh Bersatu.

Dalam PN, kita turut mengambil kompromi tertentu. Antaranya, apabila Bersatu bersama Pas, keadaan itu memberi kesan terhadap penerimaan dalam kalangan pengundi Cina dan India kerana sebahagian mereka kurang selesa untuk memberikan undi kepada kita.

Itulah antara kompromi yang kita terima ketika berada dalam PN. Jadi, sekiranya Bersatu menyertai PH, sudah tentu akan ada kompromi tertentu yang perlu diterima.

Itulah perkara yang perlu dipertimbangkan oleh Bersatu.

 

Sebelum ini, Bersatu tegas mengatakan tidak mahu bekerjasama dengan DAP, tidak risau penyokong atau pengundi marah kerana Bersatu seolah-olah ‘menjilat ludah’ daripada pendirian sebelum ini?

Dalam tempoh sebulan atau dua ini, Bersatu akan dapat melihat dengan lebih jelas pilihan yang ada. Setiap pilihan tentunya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jadi, kita perlu menilai semua kemungkinan sebelum menentukan jalan yang terbaik dan pilihan yang paling sesuai untuk Bersatu.

Pada masa sama, kita juga perlu melihat pilihan mana yang boleh membawa mudarat paling besar kepada parti. Semua perkara ini perlu dipertimbangkan secara menyeluruh sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Sekiranya keputusan yang diambil tidak dapat diterima oleh semua pihak, ia tetap perlu dihormati kerana tidak ada satu keputusan besar yang mampu memuaskan hati semua orang. Sebab itu, proses membuat keputusan perlu dilaksanakan dengan betul dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Jika boleh, keputusan tersebut perlu mendapat kelulusan dalam perhimpunan tahunan kerana itulah medan yang penting untuk menentukan hala tuju serta pilihan terbaik.

 

Jika katakan ‘penyatuan’ itu berlaku, bagaimana Bersatu mahu kembalikan imej parti dan mendapatkan semula kepercayaan penyokong? Perlukah menukar barisan kepimpinan?

Perubahan drastik tidak boleh dilakukan sekarang kerana Bersatu bukanlah sebuah parti yang boleh menukar kepimpinan sesuka hati. Pemegang jawatan ketika ini mempunyai tempoh perkhidmatan sehingga 2027.

Buat masa ini, sebarang perubahan hanya boleh melibatkan jawatan tertentu yang tidak mempunyai tempoh tetap. Namun, untuk jangka masa panjang, ruang perubahan akan terbuka menerusi Perhimpunan Agung Bersatu yang seterusnya, apabila pemilihan parti diadakan.

Pada ketika itu, Bersatu akan menentukan siapa yang layak mengambil alih kepimpinan, siapa yang dikekalkan atau siapa yang dinaikkan ke peringkat lebih tinggi. Sebagai sebuah parti politik, proses peralihan kepimpinan dan kemunculan barisan kepimpinan baharu merupakan perkara yang perlu berlaku.

Masanya akan tiba untuk Bersatu membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

 

Bersatu memiliki barisan pelapis untuk menggantikan kepimpinan Muhyiddin?

Saya ingin mulakan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Beliau pernah menjadi timbalan presiden parti lain selain pernah memegang jawatan menteri besar, menteri kanan dan menteri. Beliau antara tokoh yang sudah bersedia dan mempunyai pengalaman yang luas.

Selain itu, ada juga Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Terdapat beberapa bakat dalam Bersatu yang sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan parti.

Pada masa sama, Muhyiddin masih dihormati dalam parti sebagai presiden yang dipilih serta individu yang mengasaskan parti. Malah, terdapat suara dalam kalangan ahli yang bersetuju supaya beliau meneruskan tanggungjawab sebagai presiden.

Bagaimanapun, sekiranya beliau sendiri merasakan sudah tiba masanya untuk melepaskan jawatan, itu merupakan keputusan beliau. Dari segi keadaan dalam parti, tiada desakan daripada ahli atau kepimpinan Bersatu supaya Muhyiddin berundur.

 

Jika dilihat ahli Bersatu memiliki sifat kemelayuan yang tinggi, ada kemungkinan mereka akan menolak kerjasama dengan PH?

Bersatu tidak boleh bergerak secara solo sebagai parti individu dalam pilihan raya akan datang. Bersatu perlu berada dalam satu pasukan yang mana parti itu mempunyai nilai tinggi dalam pilihan raya, khususnya dari segi sokongan rakyat.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan juga tidak boleh dijadikan ukuran biasa untuk pilihan raya akan datang. Di negeri itu, kita melihat rakyat menolak kerajaan PH. Keadaan tersebut mungkin membuka ruang kepada gelombang yang sama di Melaka dan negeri-negeri lain.

Jadi, sekiranya Bersatu menyertai PH, persoalannya ialah apakah kedudukan parti itu akan berubah? Bagi kami, perkara ini bukan sekadar soal menyertai gabungan yang paling hampir atau memilih pilihan yang mudah.

Yang lebih penting, Bersatu perlu mempunyai rakan politik dan berada di bawah satu ‘payung besar’ yang dapat menaungi parti. Sekiranya gabungan tersebut tewas dalam pilihan raya, itu tetap merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, sekurang-kurangnya Bersatu mempunyai satu wadah untuk terus memperkukuh parti dan tampil dalam pilihan raya akan datang dengan keadaan yang lebih baik.

Terlalu awal untuk menentukan sama ada Bersatu akan bergerak solo atau sebaliknya. Buat masa ini, semua kemungkinan masih terbuka dan boleh menjadi realiti.

 

Adakah Bersatu masih menunggu keajaiban untuk kembali berdamai dengan Pas?

Selagi mana Pas dan Bersatu tidak dapat menyelesaikan perbezaan yang ada, sukar untuk melihat Bersatu kembali dalam gabungan itu. Namun, sekiranya suatu hari nanti ada sinar, dengan semua parti komponennya duduk bersama bagi menyelesaikan dan menyesuaikan masalah yang wujud, tidak mustahil Bersatu boleh kembali berada dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terbaharu, keadaan tersebut masih belum berlaku. Kemungkinan untuk pendamaian itu sedikit tipis.

 

Sejauh mana kebenaran apabila ada pihak mengatakan kapal Bersatu sudah karam, apatah lagi parti ini dianggap tiada akar umbi?

Bersatu tidak karam kerana akar umbinya tidak ada. Pada ketika ini, Bersatu tersepit kerana gabungan yang selama ini kita usahakan mahu mengetepikan parti.

Selepas pelbagai usaha dilakukan oleh Bersatu, Pas dan rakan-rakan lain dalam PN, gabungan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Apabila Bersatu diketepikan, kita nampak seolah-olah parti ini menjadi lemah. Namun, kelemahan itu bukan berpunca daripada ketiadaan akar umbi.

Kejayaan memenangi beberapa kerusi bukan semata-mata kerana mempunyai akar umbi atau kekuatan jentera tetapi turut bergantung kepada kedudukan dalam koalisi tepat pada masa yang tepat. Bersatu telah diketepikan daripada koalisi tersebut.

Sekiranya Bersatu bertanding di bawah gabungan Barisan Nasional (BN)-PN seperti yang sepatutnya, Bersatu juga mungkin mempunyai jumlah kerusi yang lebih mencukupi berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.

Jadi, isu sebenar bukan soal kekuatan akar umbi tetapi kedudukan Bersatu sebagai parti yang bergerak secara solo. Keadaan itu menyebabkan sebahagian pengundi lebih cenderung memilih parti yang berada dalam gabungan.

Tentunya perkara ini memberi kesan kepada persiapan parti. Kita sudah melihat apa yang boleh berlaku sekiranya Bersatu bertanding secara solo untuk kali kedua. Justeru, parti perlu menilai sama ada pendekatan itu benar-benar pilihan terbaik.

Kita tidak boleh menafikan keputusan yang diterima sebelum ini memberi kesan kepada Bersatu. Sebab itu, strategi perlu dinilai semula secara menyeluruh sebelum parti membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan.

 

Mewakili Armada, apakah tuntutan utama yang dikemukakan kepada parti bagi memulihkan semula kedudukan Bersatu?

Tentunya Armada melihat Bersatu perlu melaksanakan beberapa langkah penyegaran dan reformasi dalaman supaya parti ini kembali menjadi sebuah parti yang dinamik dan berdaya saing.

Dari sudut dasar, hala tuju asal parti juga perlu dikembalikan supaya identiti dan prinsip yang menjadi asas penubuhan Bersatu tidak terus dilupakan. Itu antara perkara yang Armada mahu lihat diberikan perhatian oleh kepimpinan parti ketika ini.

Pada masa sama, Armada mengharapkan kepimpinan Bersatu dapat menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan hala tuju serta memilih gabungan baharu yang lebih menghargai dan mengiktiraf keberadaan Bersatu.

Bersatu tidak boleh terus berada dalam keadaan yang sama. Parti perlu melakukan pembaharuan dan mencari ruang untuk bergerak dalam satu gabungan yang mampu memberikan kedudukan lebih baik kepada Bersatu. -UTUSAN

 

The post Bersatu mula buka pintu, tidak boleh bergerak solo appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved