Bersatu pusat, negeri belum terima surat mereka yang meletak jawatan – Izizam

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 4:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersatu pusat, negeri belum terima surat mereka yang meletak jawatan – Izizam

PADANG BESAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat pusat mahu pun negeri masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana ahli atau pemimpin yang meletakan jawatan serta meninggalkan parti sebelum ini.

Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim berkata, semakan pihaknya bersama kepimpinan Bersatu Pusat mendapati dakwaan pembubaran cawangan dan sayap parti juga tidak selari dengan rekod pendaftaran sebenar.

Beliau berkata, sebagai contoh, Bahagian Arau hanya merekodkan lima cawangan layak bersidang berbanding puluhan yang didakwa terbubar, manakala barisan kepimpinan sayap Armada dan Srikandi kawasan itu juga sebenarnya hanyalah sekadar berstatus penaja.

“Sepatutnya individu terbabit hanya umumkan dia sahaja yang keluar parti, bukannya bungkus semua sekali kerana ada ahli akar umbi yang menelefon saya mengadu mereka langsung tidak tahu-menahu bila masa mereka letak jawatan.

“Saya tidak akan melayan lagi sebarang sidang media daripada mereka selepas ini dan akan terus menumpukan fokus kepada gerak kerja pemutihan parti dan menyiasat setiap cawangan secara berdepan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi, di sini, hari ini.

Izizam berkata demikian mengulas tindakan beberapa pemimpin dan ahli Bersatu di Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau yang sebelum ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Sebagai rekod, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Ramzi Md Udi bersama sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK), termasuk 14 daripada 24 ketua cawangan sebelum ini mengumumkan keluar parti.

Manakala di Kangar, selain pemimpin bahagian dan jawatankuasa sayap-sayap parti, 90 daripada 99 ketua cawangan turut mengambil langkah sama berhijrah bersama Wawasan.

Di Arau pula, sebahagian besar pimpinan jawatankuasa Bersatu bersama 10 ketua cawangan bahagian mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Izizam berkata, beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan mereka selepas ini.

“Lepas ini, kalau mereka buat sidang media, mereka nak kata keluar 40 cawangan atau apa, bagi saya itu mainan mereka,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian kekal dengan prinsip untuk meneruskan perjuangan dan menguatkan Bersatu di Perlis.-UTUSAN

The post Bersatu pusat, negeri belum terima surat mereka yang meletak jawatan – Izizam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved