Sejauh mana keikhlasan UMNO-Pas jika bergabung?

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 8:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sejauh mana keikhlasan UMNO-Pas jika bergabung?

KERJASAMA UMNO dan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menguji sejauh mana keikhlasan kedua-dua pihak dalam membina persefahaman politik.

Persoalan itu timbul ketika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan bahawa parti itu tidak mahu dipermainkan lagi dalam agenda penyatuan Melayu Islam selepas melalui pengalaman pahit sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan UMNO tidak pernah menutup ruang kepada usaha penyatuan Melayu merentasi parti dan ideologi, dengan syarat kerjasama itu mempunyai kejelasan.

Pendirian itu menunjukkan ruang kerjasama masih terbuka, tetapi ia perlu dibina atas asas yang jelas dan bukan sekadar kepentingan pilihan raya.

Tegas Mohamad lagi, usaha penyatuan Melayu perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas dan berasaskan kepentingan strategik politik Melayu Islam.

Ia juga tidak boleh bersifat bermusim, terputus-putus atau mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan kelemahan UMNO.

Dalam konteks PRN Melaka, ujian pertama adalah pembahagian kerusi apabila BN mahu mempertahankan pengaruhnya, manakala Pas perlu diberikan ruang berdasarkan kekuatan sokongannya.

Jika masing-masing hanya mahu memaksimumkan kerusi, usaha mengelakkan pertembungan boleh berubah menjadi perebutan kepentingan.

Lebih penting, kerjasama itu perlu mempunyai formula yang jelas sekiranya BN-Pas berjaya membentuk kerajaan negeri.

Soal siapa menerajui pentadbiran, pembahagian peranan dan dasar bersama perlu dipersetujui lebih awal supaya kemenangan tidak mencetuskan pertikaian selepas pilihan raya.

Pada masa sama, penerimaan akar umbi juga menjadi faktor penting kerana persefahaman pemimpin tidak semestinya terus diterima penyokong di peringkat bawah.

Kerjasama itu juga perlu mengambil kira perubahan pola pengundi, khususnya golongan muda yang semakin kritikal dan tidak lagi boleh dianggap sebagai penyokong tetap mana-mana parti.

Akhirnya, PRN Melaka menjadi ujian sama ada BN-Pas benar-benar mampu membina kerjasama yang ikhlas, jelas dan konsisten atau sekadar persefahaman bermusim. – UTUSAN

The post Sejauh mana keikhlasan UMNO-Pas jika bergabung? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved