‘Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan paling lantang’

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 1:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan paling lantang’

KUALA TERENGGANU: Jawatan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lesen untuk bercakap sebanyak mungkin, apatah lagi menggasak semua orang dalam media sosial. 

Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tugas individu yang memegang jawatan itu adalah menerangkan dasar, mempertahan parti, menyatukan pimpinan dan membaca denyut nadi rakyat.

Katanya, semasa memegang jawatan itu, beliau bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN) melalui pilihan raya  dengan pencapaian 31 Ahli Parlimen dan 66 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Itu sejarah Tetapi sejarah juga mengajar kita satu perkara kerana politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan.

“Hari ini, terlalu banyak kenyataan yang pada saya tidak perlu keluar. Tidak semua perkara perlu dijawab. Tidak semua kritikan perlu dilawan dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka dalam media sosial.

“Lebih malang apabila kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur. Kalau hendak jadi hero media sosial, silakan tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Razali yang baru meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup menjadi wake-up call atau tanda amaran serius kepada gerakan parti berkenaan.

“Kalau masih tidak sedar, masalahnya bukan lagi pada keputusan pilihan raya tetapi masalahnya mungkin pada cermin yang enggan kita pandang,” katanya yang masih menjadi ahli Bersatu.

Menurutnya, beliau juga tidak pernah lupa dalam satu mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, ahli jawatan kuasanya ketika itu sebulat suara mencadangkan supaya Ketua Penerangan diganti.

Namun, katanya,  wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang hadir tidak sampai hati membawa cadangan itu ke Mesyuarat MPT.

“Hari ini saya ulang secara terbuka kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan. Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling lantang.

“Bersatu akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling bijaksana membaca keadaan, paling tenang mengurus perbezaan dan paling tajam menyusun strategi. Kita perlukan jurucakap parti, bukan jurucakap kemarahan.

“Jangan kerana mahu menang hujah dalam media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah. Parti bukan pentas untuk ego individu. Parti adalah amanah untuk diperjuangkan,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan paling lantang’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved