SHAH ALAM - Bila melawat tanah perkuburan, pasti ada pusara yang tidak terurus namun baru-baru ini tular di media sosial sebuah video yang menyentuh hati ramai pihak.
Menerusi video tersebut, ia memaparkan seorang wanita gigih membersihkan kubur bersebelahan pusara arwah bapanya yang terletak di Kawasan Perkuburan Masjid Iskandar Tempawan Alor Setar, Kedah menunjukkan keprihatinan tanpa mengira siapa pemilik pusara itu.
Fariza Bahrin, 42, mengakui dia tetap berlapang dada mencantikkan kubur berkenaan dengan niat untuk membantu walaupun perlu mengeluarkan wang ringgit.
"Dalam video tersebut, saya dengan adik saya terdetik hati untuk membersihkan kubur-kubur yang bersebelahan dengan kubur ayah kami.
" Ini kerana, keadaan tanah yang mendap akibat hujan telah menyebabkan sebahagian batu nisan telah tenggelam. Jadi kami hanya berniat untuk mencantikkan kawasan kubur tersebut supaya lebih terurus.
"Saya juga ada membeli pokok-pokok dan rumput yang sesuai untuk ditanam dari nurseri berdekatan rumah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Fariza, keadaan kubur yang terbiar mungkin berpunca daripada jarak ahli keluarga yang tinggal berjauhan dan tidak dapat menguruskan pusara tersebut.
Jelasnya, dari situ, timbul rasa tanggungjawab dan keinsafan kerana setiap manusia pasti akan kembali ke tempat yang sama suatu hari nanti.
"Saya rasa tersentuh melihat keadaan kubur yang tidak terurus. Jadi saya lakukan sekadar mampu sebagai amalan kecil yang saya hadiahkan buat arwah ayah," ujarnya.
Dia berpandangan, walaupun sibuk atau tinggal jauh, sangat penting untuk meluangkan masa menziarahi dan membersihkan kubur ahli keluarga.
Tambahnya, jika terlihat pusara yang terbiar, tidak salah untuk membersihkannya mengikut kemampuan masing-masing.
" Tindakan itu bukan sahaja sebagai penghormatan kepada yang telah pergi, tetapi juga dapat memberi pengajaran kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap pusara terbiar.
“Saya berharap apa yang saya lakukan ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak melupakan mereka yang telah pergi. Sedikit usaha kita mungkin besar nilainya di sisi ALLAH,” katanya.


