
SHAH ALAM – Sebanyak 21 botol air mineral yang ditemui hanyut menjadi ‘penyambung nyawa’ empat mangsa bot karam ketika terumbang-ambing lebih 36 jam di tengah laut.
Lebih menyedihkan, setiap botol bersaiz 250 mililiter itu terpaksa dikongsi empat orang mengikut waktu minum bagi memastikan bekalan air ditemui dalam sebuah tong berlumut tersebut mencukupi.
Kisah itu diceritakan Siti Rumainah Ruhaizat, isteri kepada mangsa terselamat, Mohd. Rizal Mohd. Sadali, 45, yang memberitahu, suaminya bersama tiga rakannya lain terpaksa bergantung kepada bekalan air berkenaan selepas dua malam tidak melihat daratan atau bot nelayan.
Menurutnya, iparnya, Muhd. Hamiszar Puniran, 45, yang memakai jam tangan membantu mengatur waktu untuk mereka minum bagi memastikan air yang ada tidak dihabiskan dalam tempoh singkat.
“Setiap waktu dibuka satu botol dan dikongsi empat orang. Itu yang menyebabkan mereka mampu bertahan di tengah laut.
“Tong itu pula sudah berlumut dan kami tidak tahu siapa pemiliknya. Namun, 21 botol air mineral yang ada di dalamnya sangat membantu mereka,” katanya di sini semalam.
Menurut Siti Rumainah, suaminya turut menceritakan detik mereka terdengar sayup-sayup suara orang melaungkan azan sekitar pukul 2 pagi ketika masih terumbang-ambing di tengah laut.
“Suami dan rakan lain terus menjerit kerana ingat ada bot penyelamat yang menghampiri mereka. Itu situasi pada malam kedua.
“Ketika itu, enam daripada tujuh masih ada bersama mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah sekitar pukul 6 pagi apabila seorang daripada mangsa mula berhalusinasi menyatakan menghidupkan kereta bagi membeli kuih sebelum melepaskan ikatan dan hanyut.
Keadaan itu menyebabkan empat yang lain terus bertahan selain membawa jenazah Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43.
Jelas Rumainah, suaminya memaklumkan bot dinaiki mereka dipercayai dilanggar kapal kira-kira pukul 9 malam sebelum terbelah dua dan karam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dalam tragedi memburu ikan cencaru tersebut, seramai empat pemancing terselamat iaitu Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal, Muhd. Hamiszar serta Zulfikalnain.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd. Shahril dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49 masih belum ditemui.
The post Bertahan hidup di laut dengan 21 botol air mineral appeared first on Kosmo Online.



