
BANDAR PENAWAR - Bentuk fizikal Pantai Tanjung Lompat di sini Bandar yang memiliki lekukan seakan saluran di tengah pantai dipercayai menyebabkan arus air tertarik lebih kuat ke laut.
Faktor itu juga berkemungkinan menyumbang kepada kehilangan empat remaja yang dikhuatiri lemas.
Pegawai Operasi Zon Tanjung Sedili, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, struktur luar biasa pantai berkenaan boleh menyebabkan arus menjadi lebih deras, terutama ketika air pasang mula surut.
Menurutnya, bentuk pantai yang melengkung juga berpotensi menyebabkan ombak menghasilkan arus lebih kuat menuju ke laut.
“Di kawasan ini dipercayai terdapat saluran seperti longkang di tengah pantai. Apabila ombak datang, tarikan arus ke arah laut mungkin menjadi lebih kuat.
“Keadaan ini berbeza dengan pantai yang landai secara berperingkat, apabila ombak biasanya pecah di pantai sebelum air mengalir semula ke laut. Namun, di lokasi ini, bentuk pantai berkenaan boleh menyebabkan air ditarik lebih kuat ke laut,” katanya.
Mohamed Shafiee berkata, bahaya berkenaan mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas oleh orang awam, khususnya mereka yang tidak biasa dengan bentuk fizikal pantai dan corak arus di kawasan itu.
Tambahnya, gabungan bentuk saluran berkenaan, pantai yang melengkung serta perubahan keadaan pasang surut boleh menghasilkan arus berbahaya dan sukar dikenal pasti pengunjung.
Empat remaja berkenaan dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika berada di Pantai Tanjung Lompat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan di kawasan berkenaan. - Getaran, 4 September 2026






