
JEMPOL – Seekor beruang matahari jantan yang sebelum ini dikesan berkeliaran di kawasan kebun penduduk di daerah ini berjaya ditangkap sebelum dipindahkan ke habitatnya pada 3 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai kehadiran haiwan liar berkenaan pada 21 September lalu.
Menurutnya, susulan aduan tersebut, pihak Perhilitan Daerah Jempol memasang sebuah perangkap beruang pada 23 September bagi menangani situasi itu.
“Pada 3 Oktober lalu, pengadu memaklumkan bahawa beruang berkenaan telah memasuki perangkap kira-kira pukul 6 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan segera diambil oleh anggota Perhilitan Daerah Jempol dengan kerjasama Perhilitan Daerah Seremban dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengendalikan operasi berkenaan.
Katanya, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan terhadap beruang itu dengan bantuan doktor veterinar Bahagian Ex-Situ bagi memastikan keadaan haiwan tersebut sebelum dipindahkan.
“Selepas pemeriksaan kesihatan selesai, beruang berkenaan dipindahkan dan dilepaskan ke habitat yang lebih sesuai,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Beruang matahari masuk perangkap appeared first on Kosmo Online.






