
KEMAMAN – Kakitangan dan pengunjung Kelab Golf dan Rekreasi Petronas, di Kerteh, sini, gempar dengan kemunculan seekor tapir jantan yang
tersesat semalam.
Haiwan liar seberat 250 kilogram itu dijumpai di kawasan kelab golf berkenaan pada pukul 11 pagi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, empat anggota agensi itu telah bergegas ke kelab golf berkenaan sebaik menerima aduan berhubung penemuan tapir tersebut.
“Kita berjaya menemukan kedudukan tapir jantan tersebut menerusi pemantauan menggunakan dron.
“Haiwan liar tersebut yang dipercayai berasal dari hutan simpan berhampiran kemudiannya berjaya ditangkap,” katanya di sini hari ini.
Choon Yung berkata, pemeriksaan mendapati tapir terbabit dalam keadaan sihat tanpa seberang kecederaan.
Beliau berkata, haiwan liar itu kemudiannya dilepaskan ke dalam hutan simpan yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari Kelab Golf dan Rekreasi Petronas tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Tapir 250 kg tersesat masuk kelab golf appeared first on Kosmo Online.






