Bhuiyen nafi dakwaan sembelih ayam tidak halal, bakal ambil tindakan undang-undang

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 9:27 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Memo rasmi Bhuiyen Sdn. Bhd. bertarikh 20 Oktober 2026 yang menafikan dakwaan penyembelihan ayam tidak halal.

Bhuiyen Sdn. Bhd. menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan pihaknya dengan aktiviti penyembelihan ayam secara tidak halal seperti yang dipaparkan dalam sebuah video tular di media sosial.

Menerusi satu kenyataan, pihak pengurusan syarikat itu menegaskan bahawa aktiviti penyembelihan yang ditunjukkan dalam video berkenaan tidak melibatkan Bhuiyen mahupun mana-mana cawangannya.

Menurut kenyataan itu, penjelasan rasmi dikeluarkan susulan penularan video di TikTok Sophian dan Abeoabe, sehingga menimbulkan dakwaan terhadap operasi syarikat berkenaan.

“Dakwaan yang mengaitkan pihak Bhuiyen dengan aktiviti penyembelihan ayam secara tidak halal tersebut adalah tidak benar.

“Kami dengan sekeras-kerasnya menafikan aktiviti penyembelihan di dalam video tersebut adalah pihak Bhuiyen ataupun di mana-mana cawangan Bhuiyen,” menurut kenyataan berkenaan.

Image from: Bhuiyen nafi dakwaan sembelih ayam tidak halal, bakal ambil tindakan undang-undang

Pihak pengurusan menjelaskan, kenyataan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan orang awam, pelanggan serta pihak berkaitan.

Syarikat berkenaan turut memandang serius penyebaran dakwaan yang disifatkan boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan pelanggan terhadap perniagaannya.

Sehubungan itu, Bhuiyen memaklumkan pihaknya mengambil langkah undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan syarikat tersebut di media sosial.

Image from: Bhuiyen nafi dakwaan sembelih ayam tidak halal, bakal ambil tindakan undang-undang
Kenyataan dari anak kedua pemilik Bhuiyen Sdn Bhd

Sementara itu, anak kedua kepada pemilik syarikat berkenaan yang dikenali sebagai Zara turut tampil memberikan penjelasan berhubung isu sama, termasuk dakwaan yang dikaitkan dengan pihak Surplus, Saudara Soffiyan serta beberapa aktivis terlibat.

Menurut Zara, pihak keluarganya memandang serius tuduhan berhubung penyembelihan ayam secara haram, selain dakwaan bahawa syarikat itu membekalkan daging bangkai kepada orang awam.

“Dakwaan sedemikian merupakan perkara serius yang boleh menjejaskan reputasi, kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap syarikat kami,” katanya.

Tindakan undang-undang

Beliau berkata, pihak syarikat sedang mengambil langkah ke arah tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan sekiranya terdapat asas yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Kami tidak akan berdiam diri sekiranya reputasi syarikat dan maruah keluarga kami terus terjejas akibat dakwaan yang tidak berasas,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zara menegaskan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, namun kebebasan tersebut perlu disertai tanggungjawab serta berpandukan fakta yang benar.

Katanya, sebarang tuduhan serius sewajarnya disokong bukti sah dan bukannya dibuat secara terbuka sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Pihak kami akan mengambil langkah yang sewajarnya melalui saluran undang-undang bagi mempertahankan nama baik syarikat dan memastikan perkara ini ditangani secara adil dan profesional.

“Kami memilih untuk menyelesaikan perkara ini melalui saluran yang betul, berlandaskan fakta, bukti dan undang-undang,” katanya.

The post Bhuiyen nafi dakwaan sembelih ayam tidak halal, bakal ambil tindakan undang-undang appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved