
KUALA LUMPUR – Syarikat Bhuiyen Sdn Bhd tampil menafikan dakwaan berhubung isu tular video sembelih ayam yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan baru-baru ini.
Wakil syarikat tersebut, Zalinda Yacob berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan dakwaan fitnah terhadap syarikat dan perniagaan pasar raya berkenaan.
Katanya, laporan itu dibuat terhadap beberapa individu yang didakwa telah membuat tuduhan tidak benar sehingga menjejaskan perniagaannya.
“Kami hanya menghantar ayam hidup kepada premis berkenaan, kepada syarikat itu. Kami hanya menghantar ayam hidup. Yang dalam, kita tidak tahu apa-apa. Bukan kami yang memotong ayam, dan bukan pekerja-pekerja kami.
“Saya tidak bertanggungjawab dengan kedai itu tapi Sophian, dia telah menuduh itu kedai Bhuiyen. Saya akan ambil tindakan yang paling tegas kepada Sophian, Surplus,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Zalinda menegaskan syarikatnya mempunyai lesen berkaitan termasuk lesen sembelihan dan sijil halal, selain kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa syarikatnya membekalkan bangkai dan meminta pihak berkuasa berkaitan membuat pemeriksaan terhadap syarikat serta pekerjanya.
“Saya minta Jabatan Imigresen Malaysia turun periksa semua saya punya pekerja semua saya punya permit. Dia telah buat tuduhan, fitnah mengatakan warga asing tak ada permit. Saya punya syarikat saya pakai saya punya permit sendiri. Datang periksa sendiri,” katanya.
Dia turut menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap syarikatnya sebagai tidak berasas, fitnah dan palsu.
Terdahulu, tular beberapa video yang meresahkan orang ramai khususnya umat Islam berikutan tindakan penyembelihan ayam yang meragukan.
Berdasarkan video itu, tiga lelaki dipercayai warga asing dilihat mengendalikan proses penyembelihan ayam, dengan dua daripadanya mengeluarkan ayam hidup daripada bakul sebelum seorang lagi menyembelihnya.
Apa yang mengejutkan, ayam yang disembelih kemudian dicampak ke dalam tong besar berisi air sehingga menimbulkan kebimbangan ia mati akibat lemas, bukannya sembelihan.
Kawasan berkenaan juga kelihatan kotor dengan percikan darah ayam di merata-rata tempat. – KOSMO! ONLINE
The post Tular isu sembelih ayam, Bhuiyen Sdn Bhd buat laporan polis appeared first on Kosmo Online.






