
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan tuntutan pampasan oleh keluarga pelancong wanita warga India yang maut susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, pada 2024.
Hannah berkata, peguam waris boleh membuat tuntutan di mahkamah memandangkan Kuala Lumpur belum pernah berdepan dengan kes seumpama itu.
“Peguam mereka boleh buat tuntutan di mahkamah dan kita biarkan mahkamah putuskan berapa pampasan.
“Kita tidak pernah ada kes seperti ini di Kuala Lumpur, jadi kita biarkan mahkamah tentukan,’’ katanya selepas merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Hannah berkata sijil kematian juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau turut memaklumkan perbincangan telah diadakan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud dan difahamkan ahli keluarga mangsa akan pulang ke India terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengannya.
“Saya telah bincang dengan Datuk Bandar, sijil kematian mangsa telah dikeluarkan JPN. Ahli keluarga nak berjumpa dengan saya tapi mereka akan pulang ke India dulu.
“Kita bersimpati terhadap keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku. Pasti mereka lega sekarang kerana sijil kematian dikeluarkan,’’ katanya.
Pada 23 Ogos 2024, seorang wanita warga India G. Vijaya Lakshmi telah terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terbentuk ketika berjalan di Jalan Masjid India.
Meskipun operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi namun mangsa tidak ditemukan.
Pada 27 Februari lepas, keluarga mangsa menggesa kerajaan mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan tuntutan pampasan dimulakan.
Sebelum ini, Vijaya masih diklasifikasikan sebagai orang hilang dan atas sebab itu sijil kematian belum dapat dikeluarkan. - 8 Mei, 2026
The post Biar mahkamah tentukan pampasan kepada keluarga mangsa tragedi tanah jerlus di Masjid India: Hannah appeared first on Scoop.






