Hannah Yeoh serah mahkamah tentukan pampasan mangsa lubang benam Masjid India

LocalPolitics
8 May 2026 • 12:34 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyerahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah untuk menentukan sebarang tuntutan pampasan berhubung insiden di Masjid India yang mengorbankan seorang warga India, dua tahun lalu.

Image from: Hannah Yeoh serah mahkamah tentukan pampasan mangsa lubang benam Masjid India

Foto: Media sosial

Menurut laporan Utusan, beliau berkata, pihak keluarga mangsa boleh meneruskan sebarang tuntutan melalui saluran undang-undang sedia ada memandangkan kejadian seperti itu belum pernah berlaku di Kuala Lumpur.

“Saya telah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan sijil kematian juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan tapak perkhemahan di Taman Wetland Putrajaya, hari ini.

Image from: Hannah Yeoh serah mahkamah tentukan pampasan mangsa lubang benam Masjid India

Foto: Utusan

Sementara itu, Hannah turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan menjelaskan bahawa pengeluaran sijil kematian diharap sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka.

“Kita bersimpati terhadap keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku dan saya pasti mereka lega kerana sijil kematian telah pun dikeluarkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebarang urusan berkaitan pampasan perlu diselesaikan di mahkamah, yang akan menentukan jumlah sewajarnya berdasarkan undang-undang.

“Bagi urusan tuntutan pula, saya kira mereka perlu selesaikan melalui tuntutan mahkamah dan biarlah mahkamah menentukan jumlah pampasan yang sewajarnya kerana kita tidak pernah ada kes seperti ini di Kuala Lumpur,” tambah Hannah.

Sebelum ini, keluarga mendiang G. Vijaya Lakshmi yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India dilaporkan mahu berunding dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kerajaan bagi tuntutan pampasan.

Image from: Hannah Yeoh serah mahkamah tentukan pampasan mangsa lubang benam Masjid India

Foto: Sinar Harian

Peguam yang mewakili keluarga, M. Partiben, turut merujuk kepada satu kes mahkamah sebelum ini apabila DBKL diperintahkan membayar pampasan RM824,180 kepada waris seorang mangsa yang maut akibat dihempap pokok, sebagai perbandingan dalam tuntutan yang akan dikemukakan.

Sumber: Utusan (Nurin Nabilah Mahmod)