Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex

11 Jun 2026 • 3:58 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Beberapa penduduk berkumpul di kawasan perumahan Bandar Scientex Jasin selepas salah faham melibatkan sebuah kenderaan yang disangka mencurigakan sebelum polis mengesahkan tiada unsur jenayah.

Kekecohan yang tular di media sosial membabitkan penduduk Bandar Scientex Jasin, Merlimau pada malam tadi disahkan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah, sebaliknya berpunca daripada salah faham melibatkan seorang bidan yang tersalah alamat ketika mencari rumah pelanggan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu hanya melibatkan salah faham antara penduduk dan pasangan suami isteri yang berada di kawasan perumahan tersebut.

Menurut beliau, insiden bermula pada 8 Jun lalu sekitar jam 5.30 petang apabila seorang penduduk melaporkan kehadiran sebuah Perodua Kancil yang dinaiki seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan serta meminta penghuni rumah membuka pintu.

Bagaimanapun, siasatan mendapati pasangan tersebut sebenarnya tersilap nombor rumah ketika mencari alamat pelanggan. Wanita berkenaan merupakan seorang bidan yang menawarkan perkhidmatan urutan selepas bersalin dari rumah ke rumah.

Cetus kebimbangan penduduk

Susulan kejadian itu, maklumat yang dikongsi di media sosial menyebabkan sebahagian penduduk menyangka kawasan perumahan tersebut menjadi sasaran penjenayah. Keadaan kembali tegang apabila kenderaan sama dilihat berada di kawasan berkenaan pada malam tadi.

Tiga penduduk kemudian menghampiri kenderaan tersebut dan mendapati lelaki berkenaan sedang menunggu di dalam kereta manakala isterinya berada di sebuah rumah berhampiran untuk memberikan perkhidmatan urutan kepada seorang wanita yang baru bersalin.

Situasi itu mencetuskan pertengkaran mulut sebelum menarik perhatian penduduk lain yang mula berkumpul di lokasi. Gambar kejadian kemudiannya tular di media sosial dan mengundang pelbagai spekulasi.

Baca juga:

Menurut Lee, semua pihak yang terlibat kemudiannya dibawa berbincang di Balai Polis Merlimau dan berjaya menyelesaikan salah faham tersebut secara baik selepas diberikan penjelasan mengenai keadaan sebenar.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku serta tiada unsur atau percubaan melakukan jenayah dalam kes ini,” katanya.

Beliau turut menghargai keprihatinan penduduk yang sentiasa peka terhadap aspek keselamatan kawasan kediaman masing-masing, namun menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga mencetuskan kekecohan.

Sumber: Malaysia Gazette

The post Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex appeared first on The Reporter.