JASIN - Suasana di taman perumahan Bandar Scientex, Merlimau di sini kecoh apabila seorang tukang urut yang hadir untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan disangka suspek cuba memecah masuk rumah penduduk.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihak polis menerima panggilan pada jam 8.30 malam Rabu berhubung pergaduhan yang berlaku di kawasan perumahan tersebut.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Merlimau tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mendapati beberapa penduduk sedang bertengkar dengan pasangan suami isteri berkenaan sebelum polis mengarahkan orang ramai bersurai.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham apabila pasangan terbabit sebelum ini tersilap alamat ketika mencari rumah pelanggan pada 8 Jun lalu.
“Seorang penduduk memaklumkan terdapat sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan dalam keadaan mencurigakan yang meminta penghuni membuka pintu rumah.
“Bagaimanapun, pasangan itu sebenarnya tersalah nombor rumah dan lorong. Wanita berkenaan merupakan seorang bidan yang mengambil upah mengurut wanita selepas bersalin dari rumah ke rumah,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Terdahulu tular di media sosial papar penduduk berkumpul di rumah menahan pasangan itu.
Robert berkata, pada jam 8.20 malam Rabu, kereta yang sama sekali lagi dilihat berada di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan sebelum beberapa penduduk menghampiri kenderaan itu.
Katanya, ketika itu lelaki terbabit berada di dalam kereta manakala isterinya sedang menjalankan perkhidmatan urutan kepada seorang wanita yang baru bersalin di dalam rumah pelanggan.
“Lelaki tersebut diminta keluar dari kenderaan sebelum berlaku pertengkaran mulut yang menyebabkan orang ramai mula berkumpul di lokasi.
Perbincangan secara baik telah dibuat di antara pihak terlibat. Setelah diterangkan perkara yang berlaku, hanyalah salah faham dan semua pihak telah bermaafan.
“Tiada insiden tidak diingini berlaku dan tiada sebarang percubaan jenayah seperti yang disangka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin dalam usaha mencegah jenayah di kawasan kediaman masing-namun menasihati tidak bertindak mengikut emosi sehingga mencetuskan kekecohan.
Ujar beliau, sebarang kejadian mencurigakan hendaklah dilaporkan kepada pihak polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil dan perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan baik.




