Big Caring meterai perjanjian taja jamin dengan 3 institusi kewangan menjelang penyenaraian di Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 4:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Big Caring meterai perjanjian taja jamin dengan 3 institusi kewangan menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Image from: Big Caring meterai perjanjian taja jamin dengan 3 institusi kewangan menjelang penyenaraian di Pasaran Utama liza14/10/2026 - 16:12 Dari kiri: CEO merangkap Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies; Pengarah Eksekutif Big Caring, Lim Sin Yin; Pengarah Urusan Kumpulan merangkap CEO Kumpulan Big Caring, Lee Meng Chuan: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Tengku Ariff Azhar Tengku Mohamed dan Ketua Kewangan Korporat AmInvestment Bank Berhad, Jason Lam Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Big Caring Group Berhad, pengendali rangkaian farmasi BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy memeterai perjanjian taja jamin dengan tiga bank pelaburan sebagai sebahagian daripada persiapan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Tiga bank pelaburan terbabit ialah Maybank Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad.

 

Big Caring berkata tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu merangkumi penawaran sehingga 1.9 bilion saham biasa bersamaan 25.5% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan selepas IPO.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 590.5 juta saham baharu akan diterbitkan, mewakili 8.0% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan, manakala 1.3 bilion saham sedia ada akan ditawarkan untuk jualan, bersamaan 17.5%.

 

Tawaran kepada pelabur institusi dan runcit

Penawaran IPO itu dibahagikan kepada penawaran institusi sehingga 1.6 bilion saham, bersamaan 21.9% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan, serta penawaran runcit sebanyak 267.6 juta saham atau 3.6%.

 

Daripada penawaran institusi, sebanyak 922.7 juta saham IPO akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Sehingga 692 juta saham IPO pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih Malaysia selain pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, serta pelabur institusi dan pelabur terpilih asing di luar Amerika Syarikat mengikut Peraturan S di bawah Akta Sekuriti Amerika Syarikat 1933.

 

Bagi penawaran runcit, sebanyak 147.6 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, dengan pembahagian sama rata antara pemohon Bumiputera dan bukan Bumiputera.

 

Sebanyak 120 juta saham baharu lagi diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja kumpulan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Big Caring.

 

Perluas rangkaian kepada 668 cawangan

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Caring, Lee Meng Chuan berkata pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan penyenaraian kumpulan berkenaan.

 

Beliau berkata Big Caring berkembang daripada sebuah farmasi kepada rangkaian di seluruh negara yang mempunyai lebih 600 cawangan menerusi pembukaan cawangan baharu dan pemerolehan strategik, disokong oleh komitmen pasukan serta kepercayaan pelanggan.

 

Sehingga 30 September 2026, kumpulan itu mempunyai 668 cawangan di seluruh Malaysia di bawah jenama BIG Pharmacy, CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Wellings Pharmacy, Ting Pharmacy dan iCare Pharmacy.

 

Menurut Lee, penyenaraian itu akan menyediakan sumber tambahan untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, termasuk memperluas rangkaian cawangan, memperkukuh keupayaan perkhidmatan melalui saluran fizikal dan digital, meningkatkan kemudahan pengedaran serta memperluas penawaran perkhidmatan farmasi bersepadu.

 

Beliau berkata kumpulan itu juga akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi secara berdisiplin dan mengekalkan standard perkhidmatan yang menyokong pertumbuhannya.

 

Hasil meningkat kepada RM4 bilion

Pertumbuhan rangkaian cawangan Big Caring turut disokong oleh peningkatan prestasi kewangan kumpulan itu.

 

Hasil kumpulan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 53.6%, daripada RM1.1 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY2023) kepada RM4 bilion pada FY2026.

 

Dalam tempoh sama, keuntungan selepas cukai meningkat daripada RM41.2 juta kepada RM231.8 juta.

 

Big Caring menambah 58 cawangan pada FY2026 dan membuka 12 cawangan lagi sehingga 30 September 2026.

 

Selain menjual produk farmaseutikal, penjagaan kesihatan, kecantikan, barangan am dan produk berkaitan melalui kedai fizikal, platform dagangan elektronik serta saluran jualan korporat, kumpulan itu turut menjalankan aktiviti pembuatan, pengimportan, pemasaran, pengedaran dan pemborongan produk penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta nutraseutikal.

 

Kumpulan itu juga menyediakan perkhidmatan fisioterapi, konsultasi kesihatan jarak jauh dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan yang lain.

 

Tiga bank pelaburan sokong penyenaraian

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau, berkata perkembangan BCG sebagai rangkaian farmasi bersepadu dengan kehadiran meluas di seluruh negara mencerminkan pertumbuhan kumpulan itu.

 

Beliau berkata rekod pengembangan melalui pembukaan cawangan dan pemerolehan strategik menyediakan asas bagi fasa pembangunan seterusnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies, berkata penyenaraian itu akan membolehkan BCG memperluas jangkauan dan meneroka peluang baharu dalam sektor peruncitan penjagaan kesihatan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Berhad, Christopher Ng, pula berkata kedudukan BCG dalam sektor berkenaan disokong oleh jenama yang dipercayai, rangkaian cawangan yang luas dan model perniagaan bersepadu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved