IOIPG REIT meterai perjanjian taja jamin bersama enam institusi kewangan menjelang IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOIPG REIT meterai perjanjian taja jamin bersama enam institusi kewangan menjelang IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: IOIPG REIT meterai perjanjian taja jamin bersama enam institusi kewangan menjelang IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia hamden12/10/2026 - 14:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) memeterai perjanjian pengunderaitan dengan enam institusi kewangan sebagai langkah penting ke arah tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Perjanjian itu dimeterai oleh IOIPG REIT Management Sdn Bhd selaku pengurus amanah pelaburan hartanah berkenaan, bersama penajanya, IOI Properties Group Bhd (IOIPG), serta pemegang amanahnya, MTrustee Bhd.

 

Enam institusi kewangan yang terlibat ialah Maybank Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd.

 

Di bawah perjanjian itu, pengunderait bersama akan mengunderait sebanyak 165 juta unit tawaran menerusi tawaran awam dan tawaran terhad menggunakan borang merah jambu, tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula.

 

IPO itu melibatkan sehingga 2.2 bilion unit tawaran, merangkumi tawaran runcit sebanyak 715.61 juta unit, bersamaan kira-kira 13% daripada jumlah keseluruhan 5.5 bilion unit dana yang diterbitkan selepas penyenaraian.

 

Tawaran institusi pula melibatkan sehingga 1.484 bilion unit, bersamaan kira-kira 27% daripada jumlah unit dana diterbitkan selepas penyenaraian. Kedua-dua tawaran tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula, serta opsyen lebihan peruntukan.

 

Tawaran runcit itu merangkumi 550.61 juta unit untuk pemegang saham IOIPG yang layak, berdasarkan satu unit tawaran bagi setiap 10 saham biasa IOIPG sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan.

 

Sebanyak 55 juta unit lagi diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja Pengurus serta IOIPG yang layak, selain rakan perniagaan IOIPG yang layak.

 

Sementara itu, 110 juta unit ditawarkan kepada orang awam Malaysia, dengan 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

 

9 aset hartanah bernilai RM7.66 bilion

Portfolio permulaan IOIPG REIT merangkumi sembilan aset hartanah di lokasi strategik di Selangor, pusat bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dengan nilai kira-kira RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.

 

Portfolio itu diterajui IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia, yang mempunyai keluasan lantai boleh disewa bersih (NLA) melebihi 2.5 juta kaki persegi.

 

Ia turut merangkumi enam hotel di bawah rangkaian jenama Marriott International, iaitu Putrajaya Marriott Hotel, Le Méridien Putrajaya, Moxy Putrajaya, Four Points by Sheraton Puchong, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang, dengan jumlah keseluruhan 1,920 bilik tetamu.

 

Dua lagi aset dalam portfolio itu ialah IOI City Towers dan PFCC Towers, yang mempunyai jumlah keluasan lantai boleh disewa bersih kira-kira 1.83 juta kaki persegi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG REIT Management Sdn Bhd, Chris Chong berkata, pemeteraian perjanjian pengunderaitan itu merupakan langkah penting ke arah merealisasikan penyenaraian IOIPG REIT.

 

Beliau berkata, pertumbuhan sektor pelancongan yang berterusan memberi prospek positif kepada aset hotel dan peruncitan IOIPG REIT, manakala sektor perdagangan runcit negara kekal berdaya tahan, disokong permintaan domestik yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong.

 

Chong berkata, aset pejabat amanah pelaburan hartanah itu turut mempunyai prospek yang baik meskipun pasaran pejabat Lembah Klang secara keseluruhannya berdepan lebihan bekalan.

 

Katanya, IOI City Towers dan PFCC Towers terletak di koridor pertumbuhan utama di Putrajaya dan Puchong, yang mencatatkan peningkatan kadar penghunian sejak 2022.

 

“Kami percaya momentum pertumbuhan struktur dalam aset peruncitan dan pejabat kami memberikan keyakinan terhadap prospek masa depan IOIPG REIT serta keupayaannya menyediakan pendapatan yang stabil dan berulang kepada pemegang unit pada masa hadapan,” katanya.

 

Rekod prestasi terbukti

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd, Michael Oh-Lau berkata, IOIPG REIT menawarkan cadangan pelaburan yang menarik menerusi portfolio terpelbagai aset peruncitan, hospitaliti dan pejabat berkualiti tinggi yang diterajui IOI City Mall.

 

Menurutnya, rekod prestasi IOIPG yang terbukti turut menyokong kedudukan amanah pelaburan hartanah itu untuk menyediakan pendapatan berdaya tahan dan nilai jangka panjang yang mampan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, Christopher Ng pula berkata, portfolio IOIPG REIT menawarkan peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan terpelbagai kepada hartanah yang menjana pendapatan.

 

Beliau berkata, gabungan aset peruncitan, hospitaliti dan pejabat serta asas aset yang kukuh meletakkan IOIPG REIT pada kedudukan yang baik untuk memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang unit.

 

Maybank IB dan AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, pengurus pengunderaitan utama bersama dan pengunderait bersama bagi IPO berkenaan.

 

IOIPG REIT dijangka melancarkan prospektusnya pada suku keempat 2026, sebelum penyenaraian yang dicadangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved