amree13/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt — Tawaran awam permulaan (IPO) NWE Resources Group Berhad menerima sambutan positif daripada pelabur dengan terlebih langgan sebanyak 2.82 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar pelbagai produk kesihatan tersebut berkata, sejumlah 3,068 permohonan yang melibatkan kira-kira 103.16 juta saham terbitan diterima daripada pelabur awam warga Malaysia.
Ujarnya, daripada jumlah berkenaan, bahagian awam bukan Bumiputera pula mencatatkan kadar terlebih langgan yang lebih tinggi iaitu kira-kira 3.76 kali, menerusi sebanyak 1,532 permohonan bagi 64.23 juta saham diperuntukkan.
"Sementara itu, bahagian Bumiputera menerima 1,536 permohonan melibatkan sebanyak 38.93 juta saham, yang bersamaan kadar terlebih langgan mencecah sebanyak 1.88 kali," jelas kenyataan NWE Resources.
Dalam pada itu, bagi kategori individu yang layak, keseluruhan sebanyak 10.8 juta saham terbitan yang diperuntukkan kumpulan berkenaan untuk permohonan juga sudah habis dilanggan secara sepenuhnya oleh pemohon berminat.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 105.35 juta saham terbitan yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih turut berjaya ditempatkan sepenuhnya oleh ejen penempatan.

Dokumen pengumuman NWE Resources itu turut menunjukkan 13.5 juta saham diperuntukkan kepada pemohon awam Bumiputera yang berjaya, manakala 13.5 juta saham lagi diperuntukkan kepada pemohon awam bukan Bumiputera.
"Bagi penempatan persendirian, sebanyak 105.35 juta saham diperuntukkan kepada 16 pelabur dikenal pasti. Pelabur terbesar menerima 26.25 juta saham, bersamaan 24.92% daripada keseluruhan saham yang ditempatkan," jelasnya.
Secara kumulatif, tiga pelabur terbesar menerima 76.05 juta saham atau 72.19% daripada jumlah saham penempatan, manakala lima pelabur terbesar memperoleh 86.55 juta saham, bersamaan 82.16%.
Berdasarkan modal saham terbitan diperbesar sebanyak 540 juta saham selepas IPO, keseluruhan saham penempatan tersebut mewakili kira-kira 19.51% daripada modal saham syarikat berkenaan.
NWE Resources turut mengesahkan tiada pelabur penempatan menjadi pemegang saham substansial susulan IPO berkenaan. Pengumuman bertarikh 13 Oktober 2026 itu dibuat oleh KAF Investment Bank Berhad bagi pihak lembaga pengarah syarikat. - DagangNews.com






