
PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terjejas menerusi mesyuarat khas esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas itu akan diadakan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad dan Kementerian Kewangan.
“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini. Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera.
“Saya ingin menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Anwar berkata, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.
“Namun, keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas sejak kebelakangan ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah. Ia menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj, sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA),” jelasnya.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – KOSMO! ONLINE
The post Bil elektrik ‘melambung’ tinggi, kerajaan teliti langkah mitigasi segera esok appeared first on Kosmo Online.






