amree02/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Pelanggan domestik yang menggunakan elektrik antara 601 hingga 800 kilowatt jam (kWj) pada September 2026 bakal menerima pelarasan caj dalam bil Oktober 2026, susulan kenaikan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, pelarasan berkenaan melibatkan pengecualian Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Caj Peruncitan RM10 dan Cukai Perkhidmatan 8%bagi pelanggan yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
Bagaimanapun ujarnya, manfaat berkenaan akan dikira secara prorata bagi penggunaan September 2026 dan dikreditkan terus ke dalam bil Oktober 2026.
"Jumlah pelarasan akan dipaparkan dalam bil pelanggan di bawah butiran 'PELARASAN BIL (SEP 2026)' dan 'PELARASAN CUKAI PERKHIDMATAN (8%) (SEP 2026),' jelas syarikat utiliti berkenaan.
Bagi pelanggan dengan penggunaan 600kWj dan ke bawah, tiada pelarasan tambahan akan diterima dalam bil Oktober 2026 kerana mereka sudah menikmati perlindungan sedia ada.
Sementara itu, pelanggan dengan penggunaan 601 hingga 800kWj akan menerima pelarasan bagi AFA, Caj Peruncitan dan Cukai Perkhidmatan 8%.


Bagi penggunaan 801kWj dan ke atas, pelanggan hanya menerima pelarasan Cukai Perkhidmatan 8%, dengan jadual tersebut terpakai kepada bil September 2026 yang mempunyai bacaan penggunaan sebenar.
"TNB turut menggesa pelanggan meneruskan amalan kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan, termasuk memantau penggunaan harian menerusi aplikasi myTNB dan memastikan penggunaan harian di bawah 25kWj," jelas kumpulan berkenaan.
Bagi premis yang mempunyai meter pintar, pelanggan juga disarankan menetapkan 'Energy Budget' di bawah RM328, selain mengoptimumkan penggunaan penyaman udara dengan menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan fungsi pemasa.
Selain itu, TNB mencadangkan pelanggan mempertimbangkan Skim Time-of-Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak, iaitu 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat, serta sepanjang Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih.
Langkah peningkatan aras perlindungan itu dilaksanakan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026, selaras dengan pengumuman kerajaan pada 17 September 2026, manakala pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi TNB CareLine atau mendapatkan maklumat melalui portal myTNB. - DagangNews.com






