amree02/10/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Tenaga Nasional Berhad (TNB) berpotensi memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi projek solar terapung hibrid hidro (HHFS) berkapasiti keseluruhan 2.5 gigawatt (GW), dan membuka ruang pertumbuhan baharu dalam agenda peralihan tenaga Malaysia.
MBSB Research dalam analisisnya berkata, kumpulan berkenaan sudah mengenal pasti sejumlah lapan tapak merentasi enam takungan air bagi merealisasikan kapasiti HHFS tersebut, iaitu Temenggor, Kenering, Bersia, Nenggiri, Kenyir dan Puah.
Menurut firma penyelidikan itu, Tasik Kenyir kekal sebagai projek peneraju, dengan pembangunan solar terapung berkapasiti 595 megawatt arus ulang-alik (MWac) sedang dilaksanakan sebagai fasa pertama, projek Kenyir 1 akan menjadi projek utama dengan kapasiti 85MWp.
"Ia disokong sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) yang berkapasiti 297.5MW/1,190MWh, dan TNB sendiri menyatakan keseluruhan HHFS 2.5GW merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," jelasnya dalam nota berkenaan.
Projek bernilai kira-kira RM1.96 bilion itu dianugerahkan kepada konsortium Cypark Resources Bhd dan Sunview Group Bhd pada 2026, dengan sasaran siap pada September 2028. Ia menggunakan 1.1 juta panel solar yang dipasang pada 64 pulau terapung di kawasan 522 hektar Tasik Kenyir.
MBSB Research menjangkakan Kenyir 1 turut mendapat manfaat daripada pakej pecutan Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), dengan DayOne Data Centres sebagai pembeli tenaga melalui perjanjian 'take-or-pay selama tempoh 21 tahun.

Firma penyelidikan tersebut menambah, permintaan daripada pusat data (DC) yang semakin berkembang berpotensi mengukuhkan pasaran CRESS, susulan keperluan penggunaan 30% RE oleh pengurusan DC yang dirujuk dalam analisis tersebut.
"Selain BESS, TNB turut sedang menilai penggunaan 'pumped-storage hydropower' yang digabungkan dengan solar terapung sebagai rumusan penyimpanan tenaga jangka panjang. Nenggiri antara lokasi yang berpotensi, walaupun tiada garis masa khusus diberikan setakat ini," katanya.
Dari sudut permintaan elektrik, MBSB Research menjangkakan penggunaan elektrik berkembang 5.4% pada 2026, manakala peningkatan perbelanjaan modal (capex) rangkaian terkawal, keperluan BESS dan peluang RE akan terus menyokong kedudukan TNB dalam peralihan tenaga negara.
Justeru, ia mengekalkan unjuran dan melihat rangka kerja tarif Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) memberi kestabilan serta ketelusan lebih tinggi kepada TNB, khususnya menerusi mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) yang membolehkan pemulihan kos bahan api dibuat secara lebih dinamik.
Berdasarkan kepada perkembangan posisitf tersebut, MBSB Research mengekalkan syor ‘beli’ ke atas sahan TNB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM16.31 sesaham.
"Kami menganggarkan penyerapan kos tambahan RM120 juta hingga RM150 juta bagi bantuan sekali sahaja kepada pengguna domestik boleh mengurangkan unjuran pendapatan FY26 sekitar 2.3%, namun mengekalkan anggaran keseluruhan buat masa ini," katanya. - DagangNews.com





