
BILA dunia media sosial melangkah masuk ke gelanggang tinju, hasilnya bukan sekadar perlawanan biasa, tetapi satu pengalaman hiburan yang penuh tenaga dan karakter.
Itulah yang berjaya dibuktikan menerusi All Star Championship: Dubai Edition, acara yang mengangkat pempengaruh dan selebriti ke pentas sukan dengan cara yang segar, berani dan cukup mencuri perhatian.
Berlangsung di Round 10 Boxing Club, Dubai pada 3 Mei lalu, kejohanan ini membuka dimensi baharu dalam landskap sukan digital apabila menggabungkan elemen kompetitif, hiburan dan pengaruh media sosial dalam satu platform.
Ia bukan sekadar acara suka-suka, sebaliknya dirancang rapi selama berbulan-bulan bagi memastikan setiap aspek berada pada tahap terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif All Star Influencer Award (ASIA), Datuk Abd Rahman Soltan menjelaskan persiapan melibatkan pelbagai elemen penting termasuk logistik, keselamatan dan pengalaman penonton.
“Secara keseluruhan, penganjuran berjalan lancar dan memenuhi jangkaan kami. Setiap perincian diteliti sejak awal bagi memastikan kualiti berada pada tahap terbaik,” katanya.
Apa yang menjadikan kejohanan ini lebih menarik ialah barisan pesertanya. Seramai 16 peninju terdiri daripada pempengaruh dan selebriti dari tujuh negara iaitu Malaysia, Indonesia, Jepun, Vietnam, Singapura, Maghribi dan Rusia, turun ke gelanggang, membuktikan bahawa pengaruh digital juga boleh diterjemah kepada aksi fizikal yang kompetitif.
Antara perlawanan yang mencuri tumpuan menyaksikan Trisha Ooi dari Malaysia menewaskan Dinda Anwar dari Indonesia, manakala Amir Harris turut menghadiahkan kemenangan buat negara apabila menundukkan Ridhwan dari Singapura.
Peninju Rusia, Bombitta pula tampil cemerlang dengan dua kemenangan berturut-turut, masing-masing ke atas wakil Indonesia dan Jepun. Turut mencatat kemenangan ialah Nendi, Hicham, Yuka dan Filip dalam perlawanan masing-masing.
Kejayaan wakil Malaysia ini menjadi antara sorotan utama, sekali gus menyuntik semangat dan keyakinan bahawa bakat tempatan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Lebih manis, setiap juara bukan sahaja membawa pulang Tali Pinggang All Star Championship, malah turut menerima ganjaran wang tunai sebagai pengiktirafan.

Persembahan terbaik
Walaupun kebanyakan peserta bukan atlet profesional, komitmen yang ditampilkan nyata di luar jangka.
Disiplin, kesungguhan dan latihan intensif yang dilalui membuktikan mereka bukan sekadar tampil untuk populariti, tetapi benar-benar bersedia memberikan persembahan terbaik.
“Saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka. Walaupun bukan atlet profesional, mereka menunjukkan disiplin tinggi serta kesungguhan sepanjang latihan.
Ini membuktikan pempengaruh dan selebriti juga mampu bersaing secara kompetitif,” ujar Abd Rahman.
Melihat kepada momentum yang tercipta, penganjur kini mengorak langkah seterusnya dengan merancang edisi Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada November depan.
Proses pemilihan peserta sudah pun bermula, dengan penilaian dibuat berdasarkan keberanian, komitmen, disiplin serta kesediaan menjalani latihan intensif.
“Kami mahu memastikan peninju yang dipilih benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental,” jelasnya lagi.
Sambutan positif di Dubai turut membuka ruang lebih besar untuk kejohanan ini berkembang ke peringkat global.
Malah, terdapat perancangan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan dan memperluaskan penganjuran ke negara lain.
Apa yang pasti, pendekatan menggabungkan sukan dengan platform digital dan media sosial ternyata menjadi formula berkesan.
Kandungan kejohanan yang mendapat perhatian meluas di Instagram dan TikTok membuktikan bahawa sukan hari ini bukan lagi sekadar tontonan di gelanggang, tetapi turut hidup dan berkembang dalam dunia digital.


