TINDAKAN seorang pemandu bas terlibat dalam perlakuan tidak senonoh ketika bertugas baru-baru ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan ramai tetapi turut mencerminkan dunia yang semakin moden belum cukup untuk mematangkan akal dan moral manusia.
Sebelum ini, kisah pemandu bas bermain telefon atau menggunakan telefon ketika memandu pun sudah cukup membuatkan ramai yang marah tapi ternyata ada lagi perbuatan yang lebih tidak masuk akal seperti sedang hangat diperkatakan ramai.
Menerusi video yang tular itu, pemandu bas tersebut dilihat memangku seorang wanita dalam keadaan kenderaan bergerak di jalan raya.
Perbuatan berbahaya yang dilakukan itu bukan sahaja tidak masuk akal, apatah lagi dalam perjalanan membawa penumpang tetapi lebih menjijikkan lagi sanggup berkelakuan tidak senonoh secara terang-terangan.
Timbul persoalan, tidak adakah sedikit pun perasaan malu apabila sanggup melakukan perkara terkutuk itu bukan sahaja terang-terangan tetapi ada penumpang bersama?
Namun, apa yang pasti ramai berpuas hati tindakan dikenakan terhadap pemandu yang tidak mempunyai perasaan malu berkenaan.
Kesan daripada pelakuan tidak bertanggungjawab tersebut, pemandu terlibat bukan sahaja ditamatkan perkhidmatan serta-merta, malah juga mendapat malu.
Kredit juga harus diberikan kepada pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana bertindak pantas dan tahniah juga kepada syarikat bas terlibat kerana mengambil tindakan tepat dengan menamatkan perkhidmatan pemandu berkenaan.
Insiden terbaharu itu memperlihatkan dalam era serba canggih, di mana kamera dan media sosial mampu merakam setiap detik tetapi masih wujud individu yang tetap melakukan kesalahan secara terbuka.
Kisah melibatkan pemandu bas berkelakuan tidak senonoh itu antara insiden tular yang berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Realitinya masih banyak perbuatan jenayah menjadi tular disebabkan sikap kurang cerdik manusia itu sendiri tanpa berfikir panjang sebenarnya.
Sebagai contoh membut onar di atas jalan raya dan mencuri di premis-premis perniagaan, sedangkan perbuatan mereka berisiko dirakam.
Sepatutnya, dalam zaman serba canggih ini, cukup memberi kesedaran kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara kerana tentu mudah sahaja perbuatan kita dirakam kamera ada sama telefon bimbit atau kamera litar tertutup (CCTV).
Biarlah makin maju teknologi, makin tinggi nilai kemanusiaan dan moral semua individu juga bergerak seiring.
Inilah sepatutnya yang kita mahukan. Kita tidak mahu lagi masyarakat terus dihantui dengan kisah tular memalukan, bayangkan yang melihat kesalahan dilakukan itu adalah ibu bapa kita, pasti remuk hati mereka.
Jadi, berhati-hatilah kita dalam apa sahaja yang dilakukan, bukan untuk memuaskan hati mana-mana pihak tetapi supaya menjadi contoh dan teladan terbaik kepada generasi akan datang.
Cukup-cukuplah kita mendengar kisah memalukan atas sikap tidak bertanggungjawab dilakukan individu yang gagal berfikir secara waras dan hanya memikirkan keseronokan serta mahukan kepuasan hati semata-mata.
Semoga kisah melibatkan 'abang bas' yang tular ini menjadi pengajaran berguna kepada semua supaya tidak melakukan perbuatan salah tidak kiralah ketika berada di atas jalan raya atau di mana sahaja.
*Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian






