
AMPANG: Penyanyi, Abby Abadi, berkata tiga orang anaknya hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Norman Hakim kini sudah mempunyai laluan hidup masing-masing.
Kongsi Abby, 48, dia dan anaknya kini sudah tidak lagi tinggal sebumbung malah mengakui hubungan mereka renggang buat masa ini.
“Saya sudah habis kata-kata sebenarnya. Saya tak harap pun mereka datang. Kalau mereka datang pun, saya rasa macam nak lari. Itu yang saya rasa sekarang.
“Saya pun tidak mengharap anak-anak untuk jaga saya. Saya rasa semua ibu bapa pun kena letak dalam diri kalau kita jaga anak-anak jangan harap anak bagi balik apa yang kita bagi,” katanya.
Abby ditemui pada majlis sidang media konsert Elegant Selamanya di sini, pada Khamis.
Bercerita mengenai punca keretakan hubungan, pelakon Gerak Khas itu berkata dia pernah menegur sikap anaknya membuatkan mereka berkecil hati dan ‘lari’ kepada bapa mereka.
“Adalah beberapa benda yang macam yang saya tak sokong dan saya marah.
“Tapi antara kesilapan saya sebab dia orang ada dua saluran. Bila saya tegur, mereka akan pergi kepada bapa mereka.
“Jadi bila sudah besar, mereka boleh buat sesuka hati. Saya tak boleh marah, mereka ada kaki dan boleh gerak sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, dia terkilan kerana Norman tidak bertanya terlebih dahulu apa yang terjadi setiap kali anak-anak menghubungi mereka.
“Daripada dulu pun sebenarnya, saya rasa kurang senang apabila saya marah mereka, dia terus telefon papanya. Papanya pula kadang-kadang tidak bertanya kepada saya terlebih dahulu, sebaliknya terus datang ambil anak itu macam itu saja.
“Pada saya, itu satu kesilapan kerana kita tidak dapat membentuk disiplin anak dengan cara begitu. Saya rasa perkara itu boleh dijadikan pengajaran kepada ibu bapa lain di luar sana.
“Untuk mendisiplinkan anak, kita perlu tegas sedikit. Bukan bermaksud menggunakan kekerasan atau melakukan apa-apa yang boleh menyakiti mereka, tetapi perlu ada ketegasan dan batas yang jelas,” katanya.
Sebelum ini, sekali lagi Abby Abadi mencuri tumpuan apabila menulis ucapan berbaur sinis ketika ulang tahun kelahiran anak keduanya, Maria Danisha.
Dalam ucapan itu juga, Abby meminta agar anaknya tidak mengunjunginya walaupun dia telah menghembuskan nafas terakhir. -UTUSAN
The post Bila tegur, mereka pergi kepada bapa – Abby Abadi appeared first on Utusan Malaysia.






