
AMPANG – Menangkis tuduhan mengamalkan pilih kasih, pelakon dan penyanyi, Abby Abadi menegaskan setiap anak dilayan sama rata tanpa mengira usia atau pencapaian biarpun hubungannya dengan anak-anak berada dalam fasa dingin.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata tidak pernah membezakan kasih sayang mahupun layanan terhadap keenam-enam permata hatinya malah segala keperluan mereka akan diusahakan secara adil.
“Saya bukan jenis orang yang mahu junjung al-Quran atau apa, tetapi lillahitaala saya jaga anak-anak saya yang kecil, yang besar, sama rata.
“Tidak pernah saya bahagikan kasih atau berlaku tidak adil. Kalau saya beli satu barang, saya beli semua. Kalau saya beli baju merah, semua saya beli merah. Contohnya macam itu.
“Memang dari dulu saya begitu, tiada kurang, tiada lebih. Semuanya saya sayang,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Elegant Selamanya, hari ini.
Ibu kepada enam cahaya mata itu, dakwaan kononnya dia lebih menyayangi atau memihak kepada anak tertentu timbul susulan beberapa luahan di media sosial berkaitan keadaan keluarganya.
Katanya, hal disuarakan juga bukan berpunca daripada rasa dengki atau cemburu, sebaliknya kerana ada perkara membabitkan anak-anak yang dirasakan perlu diperbetulkan.
“Kalau saya mahu dengki, saya dengki sejak dari dulu. Hati saya bukan dalam situasi mahu berdengki pada orang lain.
“Saya bersuara kerana ada sebab dan keperluan. Kalau tidak, saya rasa perkara yang sudah terlalu lama dipendam akan terus tersimpan.
“Ikutkan, apa yang saya luahkan dalam media sosial cuma lima peratus. Banyak lagi perkara lain saya simpan sahaja,” ujarnya.
Mengakui hubungan dengan beberapa anak kini semakin dingin sejak kebelakangan ini, katanya keadaan tersebut membuatkan dia enggan lagi terlalu berharap mereka kembali ke pangkuannya.
“Saya sudah terbiasa dengan keadaan seperti itu. Saya tidak mahu terlalu beria-ia. Kalau ada (pulang) alhamdulillah. Kalau tiada, tidak mengapalah,” ujarnya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu turut mengakui satu perkara yang menjadi kesilapan selepas perceraian dengan bekas suami, Norman Hakim adalah anak-anak mempunyai ‘dua saluran’ untuk mendapatkan perlindungan apabila ditegur.
Katanya, keadaan itu menyukarkan dirinya membentuk disiplin anak-anak kerana mereka boleh memilih untuk mendapatkan bapa apabila tidak bersetuju dengan teguran diberikan.
“Kalau anak tinggal dengan kita dan kita marah, biasanya mereka akan takut dan cuba memperbaiki keadaan tetapi situasi saya pula apabila saya tegur, mereka lari kepada bapa.
“Jadi macam ada dua saluran. Apabila ada yang tak kena, mereka lari ke sana. Bagi saya, itu satu kesilapan yang saya nampak sekarang sebab kita tidak boleh nak bentuk disiplin anak agar berdisiplin.
“Untuk mendisiplinkan anak kita kena tegas sedikit. Bukan bermaksud ada kekerasan tetapi perlu ada ketegasan,” katanya.
Kemelut keluarga Abby dan Norman kembali ‘panas’ apabila baru-baru ini aktres itu menitip ucapan selamat ulang tahun ke-18 anaknya, Maria Danisha Hakim.
Menerusi hantaran tersebut, Abby berkongsi perasaan mengenai pengorbanan dilakukannya dalam membesarkan anak-anak yang seakan-akan dilupakan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Lillahitaala, saya jaga anak-anak kecil besar sama rata’ appeared first on Kosmo Online.






