
IPOH: Jumlah ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Perak mencatatkan penurunan sebanyak 30 peratus pada 31 Julai iaitu 6,617 KIR berbanding 9,402 KIR yang direkodkan pada 31 Jan tahun ini, kata Pengarah Pembangunan Negeri Datuk Shamshuzaman Sulaiman.
Beliau berkata penurunan itu merupakan hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Perak bersama-sama kerajaan negeri, bagi mencapai matlamat untuk membasmi miskin tegar di negeri itu.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkasa inisiatif data eKasih, meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar melalui bantuan kewangan, program pemadanan pekerjaan dan bantuan peningkatan pendapatan berdasarkan kemahiran.
“Selain itu, inisiatif yang dilaksanakan bagi membasmi miskin tegar ini ialah dengan menyantuni generasi kedua melalui bidang pendidikan, menerusi tiga kaedah iaitu bantuan kewangan pendidikan, bantuan peranti serta pendedahan laluan pendidikan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak, yang dirasmikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun, di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Shamshuzaman berkata golongan miskin tegar juga, perlu ditingkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka menerusi bantuan baik pulih dan bina baharu rumah, selain mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik dan jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
Beliau berkata kesemua inisiatif yang digariskan itu, menjadi panduan gerak kerja kepada pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan dan agensi pemberi bantuan, dalam menoktahkan kemiskinan di negeri itu.
“Bantuan juga turut disasarkan berdasarkan kategori peserta, sama ada produktif dan tidak produktif dan mengikut peringkat umur. Bantuan yang diberikan tidak terhad hanya kepada ketua isi rumah, malah meliputi ahli isi rumah,” katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan masalah kemiskinan tegar pada tahun ini, walaupun memerlukan dana tambahan untuk menjayakannya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan, dengan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi, bagi menjayakan IPR. -Bernama



