Billie Eilish Dah Sampai Malaysia, Stadium Giat Buat Persediaan Konsert!

EntertainmentMusic
18 Aug 2022 • 10:10 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar dari Instagram Billie Eilish

Selepas Korea Selatan, pemenang Anugerah Grammy, Billie Eilish dijadualkan meneruskan konsert jelajahnya di  Kuala Lumpur pada esok. 

Menerusi ciapan peminat di media sosial, penyanyi terkenal itu dilihat sudah mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) petang Selasa. 

Dalam gambar yang tular tersebut, Billie mengenakan pakaian serba hitam diiringi abangnya, FINNEAS yang juga seorang komposer.

Bukan itu sahaja, Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi lokasi konsert sulung Billie Eilish Happier Than Ever World Tour di Malaysia itu juga dilihat sedang giat melakukan persiapan.

Dalam video yang dikongsikan peminat, beberapa kru sedang sibuk memasang kelengkapan alatan eletronik seperti bunyi dan skrin untuk malam konsert berkenaan.

Laman sosial juga dibanjiri dengan luahan peminat yang rata-ratanya sangat teruja menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka itu.

“Tak sangka saya tengah bernafas dengan udara yang sama dengan Billie, selamat datang ke Malaysia sayang” tulis seorang peminat.

“Billie dah sampai Malaysia tapi masih tak tahu nak pakai apa konsert dia nanti,”kata yang lain. 

“Aduh, waktu Billie datang la kena kerja double shift. Nangis,” tulis satu komen.

Terdahulu, Live Nation Malaysia mula menjual tiket konsert bermula 27 Jun bermula pada harga RM308, RM408, RN508 dan RM598. - 18 Ogos 2022