BIMB Securities memulakan liputan terhadap Rhong Khen dengan saranan ‘pegang’, TP RM1.37

Business & Finance
3 Jul 2023 • 10:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BIMB Securities memulakan liputan terhadap Rhong Khen dengan saranan ‘pegang’, TP RM1.37

diyana

03/07/2023 - 10:31

KUALA LUMPUR 3 Julai - BIMB Securities Research memulakan liputan terhadap Rhong Khen International Bhd dengan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM1.37 sesaham.

Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan syarikat pengilang perabot rumah bersepadu itu dijangka terjejas dalam tahun kewangan 2023 (FY23) kerana permintaan lebih perlahan daripada pasaran eksport akibat tekanan inflasi dan kebimbangan kemelesetan semasa.

Bagaimanapun, firma itu menganggarkan pendapatan Rhong Khen pulih sebanyak 2.7% pada FY24 kepada RM18 juta daripada kemerosotan 4.2% dalam FY23, terutamanya disokong oleh peningkatan dalam permintaan perumahan di Amerika Syarikat (AS), di mana pasaran negara itu menyumbang kira-kira 90% daripada jumlah hasil kumpulan pada FY22.

“Tambahan pula, kami percaya bahagian perabot Rhong Khen mempunyai potensi untuk mengekalkan margin keuntungan munasabah antara 2.9% hingga 3%, memanfaatkan kelebihan daya saingnya yang diperoleh daripada operasi perniagaan hilirannya.

“Bagaimanapun, kami menerima pakai pandangan pesimis mengenai prospek permintaan kumpulan itu, memandangkan pasaran sangat kompetitif dengan halangan kemasukan yang rendah dan keutamaan semakin meningkat untuk perabot terpakai,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengulas mengenai prestasi Rhong Khen ketika pandemik COVID-19, firma itu berkata FY22 adalah tempoh mencabar berikutan kesan wabak tersebut dan langkah penutupan yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dan Vietnam.

Jelasnya, sekatan menyebabkan bilangan hari pengeluaran berkurangan berbanding tahun sebelumnya, namun, salah satu kilang kumpulan itu di Vietnam berjaya melaksanakan pendekatan ‘three on the spot’ yang melibatkan pelaksanaan pengeluaran, makanan dan rehat di lokasi yang sama semasa tempoh penutupan, menyebabkannya berjaya mencapai pulang modal.

Sementara itu, BIMB Research menjangkakan Rhong Khen akan mengisytiharkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 6 sen bagi FY23 sehingga FY25, diterjemahkan kepada pembayaran 31% hingga 33% dan hasil 4.7% yang baik pada harga saham semasa.

“Melangkah ke hadapan, kami meramalkan trajektori yang positif untuk pendapatan, di samping permintaan untuk perumahan di AS dijangka beransur-ansur pulih. Bagaimanapun, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kadar pemulihan ini mungkin agak sederhana,” tambahnya. - DagangNews.com