
Kota Kinabalu: Majlis Belia Sabah (MBS) melahirkan kebimbangan berhubung kehilangan empat remaja perempuan di kawasan Parlimen Sepanggar dalam tempoh 19 hari, bermula Oktober lepas.
Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata kejadian itu menunjukkan golongan muda, khususnya remaja perempuan, terdedah kepada risiko keselamatan.
“Kehilangan empat remaja perempuan dalam tempoh 19 hari di kawasan Parlimen yang sama merupakan kejadian luar biasa.
“MBS amat bimbang terhadap risiko keselamatan yang dihadapi golongan muda ini, yang kesemuanya masih di bawah umur.
“Kami turut bersimpati dengan kesedihan dan kebimbangan ibu bapa, khususnya keluarga remaja yang dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Abqaree turut menggesa orang ramai, khususnya penduduk di Sepanggar, supaya memikul tanggungjawab bersama dan membantu pihak berkuasa mengesan keempat-empat remaja berkenaan.
Beliau berkata MBS akan membantu menyebarkan maklumat mengenai remaja yang hilang itu kepada ahli-ahlinya serta menyalurkan sebarang maklumat baharu yang diterima kepada pihak berkuasa.
Pada Selasa, polis Kota Kinabalu melaporkan kehilangan empat remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Mereka dikenal pasti sebagai Lorna Palmani, 17, Olivia Jeffrey, 16, Farha Nabila Abdullah, 14, dan Nadyana Albaser, 16.
Kesemua mereka merupakan penduduk di kawasan Parlimen Sepanggar dan dilaporkan hilang antara 22 Okt hingga 9 Nov.
Sementara itu, polis di sini memohon bantuan orang ramai untuk mengesan empat remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di daerah ini sejak bulan lepas.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan pada Selasa berkata, seorang daripada remaja itu dilaporkan hilang sejak 22 Okt, manakala tiga lagi dilaporkan hilang bulan ini.
Remaja pertama ialah Lorna, 17, dari Kampung Numbak, One Borneo, Manggatal, yang dilaporkan hilang pada 22 Okt.
Tiga lagi ialah Olivia, 16, dari Taman Richdar, Manggatal, yang hilang pada 7 Nov; Nadyana, 16, dari Kampung Warisan Kalansanan, Inanam, pada 8 Nov; dan Farha Nabila, 14, dari Kampung Sinulihan, Inanam, pada 9 Nov.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu menerusi talian 088-529222 atau balai polis berhampiran.





