Peningkatan Isu Kesihatan Mental Kanak-Kanak: Dr Wan Azizah Gesa Ibu Bapa Tingkatkan Pemantauan

LocalHealth & Fitness
21 Nov 2026 • 8:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Peningkatan Isu Kesihatan Mental Kanak-Kanak: Dr Wan Azizah Gesa Ibu Bapa Tingkatkan Pemantauan

KUALA LUMPUR - Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam memantau kesejahteraan anak-anak susulan peningkatan kebimbangan terhadap isu buli, bunuh diri, masalah kesihatan mental dan kehamilan remaja.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penglibatan keluarga yang lebih menyeluruh, intervensi awal serta kemudahan mendapatkan khidmat sokongan amat penting bagi memastikan kanak-kanak dan golongan remaja yang berdepan masalah menerima bantuan sewajarnya tanpa berlengah.

“Kita mahu mereka yang berhadapan dengan masalah mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan dengan segera.

“Namun, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak mereka kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat kini semakin berdepan pelbagai permasalahan sosial termasuk buli dan bunuh diri, yang suatu ketika dahulu jarang diperkatakan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan Talian Kasih 15999, iaitu talian bantuan 24 jam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebagai saluran bagi individu yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Menurutnya, setiap panggilan yang diterima akan direkodkan serta diambil tindakan sewajarnya, termasuk merujuk kes kepada agensi berkaitan seperti pihak polis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekiranya perlu.

“Kita mahu kerjasama erat daripada semua pihak bagi memastikan mereka yang memerlukan bantuan dapat menerimanya dengan segera,” katanya.

Mengulas isu kehamilan remaja, Dr Wan Azizah berkata sebanyak 21,114 kes kehamilan remaja luar nikah direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2019 hingga 2024.

Beliau menegaskan, intervensi bersesuaian perlu dilaksanakan bagi melindungi golongan ibu muda yang berdepan kehamilan tidak dirancang, termasuk bayi yang dilahirkan.

“Perkara seperti ini perlu ditangani dengan sebaiknya supaya kita dapat melindungi bukan sahaja golongan ibu, malah bayi yang tidak berdosa,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata sistem ANAK yang baru dilancarkan dijangka meningkatkan kecekapan pengumpulan dan penggunaan data bagi tujuan penggubalan dasar, pelaksanaan intervensi serta tadbir urus berkaitan kebajikan kanak-kanak.

Pada masa sama, pelaksanaan sistem itu turut mengambil kira keperluan mematuhi peraturan perlindungan data peribadi. - Getaran, 21 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved