
SHAH ALAM, 13 NOV: Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diperluas kepada kategori individu rentan, dengan penerima bakal mendapat bantuan RM150 sebulan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan baharu itu menyasarkan kira-kira 10,000 penerima, sekali gus membuktikan komitmen negeri dalam melindungi pihak memerlukan, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan keperluan isi rumah.
Menurutnya, pelaksanaan skim berkenaan melibatkan peruntukan RM100 juta dengan sasaran penerima seramai 30,000 yang dinilai menerusi pendekatan lebih bersasar berdasarkan komposisi dan keperluan isi rumah.
“BINGKAS akan memberi manfaat kepada keluarga yang mempunyai tanggungan kanak-kanak serta individu rentan. Bagi kategori keluarga, bantuan sebanyak RM300 sebulan disediakan kepada keluarga mempunyai sekurang-kurangnya dua anak berumur bawah 18 tahun.
“Bagi kategori individu rentan pula, bantuan sebanyak RM150 sebulan bagi setiap individu rentan akan disediakan dengan sasaran seramai 10,000 penerima manfaat,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, bantuan berkenaan turut ditambah baik melalui penggunaan MyKad sebagai medium transaksi secara berfasa, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah transaksi berasaskan e-dompet.
“Pendekatan ini merupakan langkah ke arah memastikan bantuan sosial bukan sekadar berfungsi sebagai jaringan keselamatan, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan daya tahan dan mobiliti sosial keluarga,” katanya.
BINGKAS antara 46 inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022 bagi menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Sejak tahun lalu, syarat kelayakan BINGKAS diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan berbanding had RM3,000 sebelum ini, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Selangor menerima manfaat.






