
NEW YORK: Pelakon Hayden Panettiere meninggal dunia pada usia 36 tahun, menurut pengesahan wakilnya kepada ABC News.
Bapanya, Skip Panettiere, memberi penghormatan kepada pelakon itu menerusi satu kenyataan, menyifatkannya sebagai anak kesayangan yang membawa kegembiraan dan kasih sayang kepada mereka di sekelilingnya serta penonton di seluruh dunia.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami ingin berkongsi berita pemergian tragis Hayden yang amat kami sayangi.
“Beliau merupakan insan luar biasa dan berjiwa kental yang mencurahkan kasih sayang serta kegembiraan tidak terhingga kepada semua yang mengenalinya dan kepada jutaan penonton yang menyaksikannya di layar kaca,” katanya.
Tiada butiran lanjut mengenai punca atau keadaan kematiannya diberikan setakat ini.
Hayden memulakan kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak sebelum mengukuhkan namanya dalam industri televisyen dan filem.
Namanya mula dikenali secara meluas menerusi watak gadis pasukan sorak, Claire Bennet dalam siri televisyen popular Heroes. Beliau kemudian membintangi watak penyanyi muzik country, Juliette Barnes dalam siri drama muzikal Nashville.
Antara filem lakonannya termasuk Remember the Titans, Raising Helen, Ice Princess dan Scream 4.
Hayden juga terbuka berkongsi pengalaman membesar dalam industri hiburan serta cabaran yang dilaluinya sepanjang kehidupan.
Pada Mei lalu, beliau menerbitkan memoir bertajuk This Is Me: A Reckoning, yang mengisahkan pengalaman peribadi dan perjuangan yang dilaluinya.
The post Bintang Nashville, Hayden Panettiere meninggal dunia pada usia 36 tahun appeared first on Utusan Malaysia.



