
PARIS – Barisan pemain bintang Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa ‘memboikot’ Majlis Anugerah Ballon d’Or apabila bertembung dengan aksi Ligue 1 menentang Olympique Lyon yang ditunda pada awal pagi Selasa nanti.
Sebagai rekod, perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung malam ini di Parc des Princes tetapi telah diubah susulan kebimbangan keselamatan menjelang siri protes di ibu negara Perancis itu.
Situasi berkenaan meletakkan bintang PSG dalam dilema apabila mereka perlu memberi tumpuan kepada perlawanan domestik, sedangkan nama mereka turut tersenarai sebagai calon untuk merebut anugerah paling berprestij bola sepak antarabangsa.
PSG memiliki 10 pemain yang dicalonkan bagi anugerah pemain terbaik termasuk Achraf Hakimi, Khvicha Kvaratskhelia, Marquinhos, Nuno Mendes, Joao Neves, Vitinha dan pemenang tahun lalu, Ousmane Dembele.
Warren Zaire-Emery turut tercalon bagi anugerah pemain muda terbaik, manakala Matvey Safonov memburu pengiktirafan penjaga gol terbaik dan pengendali Luis Enrique dicalonkan untuk jurulatih lelaki terbaik.
Bagaimanapun, Dembele, Kvaratskhelia dan kapten, Marquinhos masih berpeluang menghadiri majlis di London kerana ketika ini diketepikan akibat kecederaan.
Keputusan Anugerah Ballon d’Or kali ini dijangka sengit dengan ramalan penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane dijangka menang buat kali pertama selepas konsisten tahun ini. – AGENSI
The post Bintang PSG terpaksa ‘boikot’ Ballon d’Or appeared first on Kosmo Online.



