hamden22/05/2026 - 15:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Mei - Bintulu Port Holdings Bhd memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi lebih kukuh apabila mencatat peningkatan keuntungan bersih disokong aktiviti pengendalian kargo yang lebih tinggi sepanjang suku pertama.
Kumpulan operator pelabuhan itu merekodkan keuntungan bersih RM30.51 juta bagi suku pertama FY2026 berbanding RM28.38 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham turut meningkat kepada 6.63 sen daripada 6.17 sen sebelumnya.
"Seiring prestasi lebih baik itu, lembaga pengarah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak tiga sen sesaham dengan tarikh kelayakan pada 15 Jun 2026 dan pembayaran dijadual dibuat pada 8 Julai 2026," kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Hasil suku tahunan meningkat kepada RM218.47 juta berbanding RM201.71 juta sebelumnya, didorong pertumbuhan aktiviti perkhidmatan pelabuhan yang lebih kukuh di Samalaju Industrial Port Sdn Bhd.
Pendapatan pengendalian kargo di Samalaju Industrial Port meningkat kepada RM44.54 juta daripada RM36.12 juta pada suku sama tahun lalu.
Sementara itu, Bintulu Port Sdn Bhd turut merekodkan peningkatan aktiviti pengendalian kargo dengan hasil bertambah kepada RM161.84 juta berbanding RM156.19 juta dalam suku pertama FY2025.
Anak syarikat lain, Biport Bulkers Sdn Bhd pula mencatat lonjakan hasil sebanyak 28.6% kepada RM12.09 juta berbanding RM9.4 juta sebelumnya.
Bagaimanapun, jumlah perbelanjaan kumpulan meningkat RM11.51 juta tahun ke tahun kepada RM180.81 juta, didorong peningkatan kos operasi langsung susulan aktiviti operasi yang lebih tinggi.
Selain itu, kos berkaitan bahan api turut meningkat berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga tenaga global.
Bintulu Port berkata aktiviti pengendalian kargo LNG dan panggilan kapal dijangka terus menjadi pemacu utama hasil kumpulan sepanjang 2026.
Menurutnya, prestasi itu akan terus disokong aktiviti kargo pukal kering di Pelabuhan Bintulu dan Samalaju Industrial Port selain aktiviti pukal di Biport Bulkers. - DagangNews.com





