Pelabuhan Bintulu rasmi beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri Sarawak mulai 1 September 2026

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabuhan Bintulu rasmi beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri Sarawak mulai 1 September 2026 Image from: Pelabuhan Bintulu rasmi beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan Negeri Sarawak mulai 1 September 2026 hamden14/09/2026 - 14:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept - Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) memaklumkan Pelabuhan Bintulu secara rasmi telah beralih daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026.

 

Peralihan itu berlaku susulan berkuat kuasanya Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, BPHB berkata anak syarikat milik penuhnya, Bintulu Port Sdn. Bhd. (BPSB), telah diluluskan secara prinsip sebagai pengendali pelabuhan yang diluluskan bagi Bintulu Port.

 

Kelulusan itu diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Sarawak pada 23 Jun 2026, di bawah Seksyen 12(2)(a) Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan, 1961.

 

“Berkuat kuasa dari Tarikh Kuat Kuasa, operasi, pengurusan dan pembangunan Pelabuhan Bintulu oleh BPSB ditadbir oleh Terma Perjanjian Utama (HOA) bertarikh 27 Julai 2026 yang dimeterai antara Kerajaan Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu (Sarawak) (BPA Sarawak) dan BPSB, sementara menunggu pemeteraian Perjanjian Konsesi Operasi Pelabuhan (POCA),” katanya.

 

Susulan peralihan tersebut, Perjanjian Penswastaan bertarikh 31 Disember 1992 serta Perjanjian Interim Keempat bertarikh 22 Disember 2025 yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu dan BPSB, bersama pengaturan operasi Persekutuan berkaitan, telah terhenti daripada berkuat kuasa.

 

BPHB berkata, berdasarkan Perjanjian Tiga Pihak bertarikh 21 Jun 2026, Kerajaan Negeri Sarawak dan BPSB bersetuju melepaskan Kerajaan Persekutuan daripada sebarang tuntutan yang telah, sedang atau mungkin dibuat oleh kedua-dua pihak berkaitan Perjanjian Penswastaan.

 

Sehubungan itu, BPSB tidak lagi mengendalikan Pelabuhan Bintulu di bawah rangka kerja kawal selia Kerajaan Persekutuan dan akan meneruskan operasi berdasarkan HOA dan POCA bersama Kerajaan Negeri Sarawak serta BPA Sarawak.

 

Bagaimanapun, BPHB berkata peralihan itu tidak akan menjejaskan operasi harian Pelabuhan Bintulu atau kesinambungan perkhidmatan kepada pelanggan, pengguna pelabuhan dan pihak berkepentingan lain.

 

“BPSB kekal sebagai pengendali Pelabuhan Bintulu dan semua operasi serta perkhidmatan pelabuhan akan diteruskan tanpa sebarang gangguan di bawah rangka kerja kawal selia Negeri,” katanya.

 

Dari segi kewangan, BPHB berkata tiada kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, modal saham atau pegangan saham Kumpulan yang timbul daripada pengaturan tersebut bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Lembaga Pengarah BPHB menyifatkan peralihan itu sebagai satu pencapaian penting bagi BPHB dan BPSB.

 

BPHB berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, BPA Sarawak dan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar, selain mengekalkan kestabilan, kecekapan dan kesinambungan operasi pelabuhan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved