
KUALA LUMPUR: UMNO berdepan kesukaran untuk meyakinkan majoriti orang Melayu supaya menerima kerjasama parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehingga kini tiada hujah yang mampu meyakinkan pengundi Melayu terhadap kerjasama kedua-dua parti berkenaan.
“Tiada hujah yang boleh meyakinkan majoriti konstituen Melayu atau melunakkan pendirian mereka untuk menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sebabnya ialah, telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa, DAP itu tidak pernah bersetuju, dengan dasar-dasar diskriminasi positif untuk pribumi.
“Selain, telah ada stigma bahawa, DAP itu anti Islam.” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, keadaan itu bukan bermakna Kerajaan Perpaduan tidak menunjukkan prestasi sepanjang pentadbirannya.
Beliau berkata, pelbagai dasar dan program yang baik untuk mengembangkan serta menumbuhkan ekonomi negara berjaya dilaksanakan meskipun negara berdepan kerumitan ekonomi akibat krisis geopolitik global.
Katanya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai bentuk pengagihan bantuan, komitmen memerangi rasuah dan ketirisan serta usaha pembaharuan dalam pelbagai sektor.
“Semua ini UMNO sokong sebagai tanggungjawab kolektif dalam kerajaan.
“Namun semua ini tidak dilihat sebagai lebih Melayu. Selagi UMNO dilihat bersama dengan DAP, semuanya akan menjadikan Kerajaan Perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya,” katanya.-UTUSAN
The post Sukar yakinkan majoriti Melayu terima kerjasama UMNO-DAP appeared first on Utusan Malaysia.






