Lebih 30 usahawan terima pengiktirafan BISA 2026

LocalBusiness & Finance
7 May 2026 • 12:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 30 usahawan terima pengiktirafan BISA 2026
Steven (hadapan, tengah), Firdaus (kiri), Farah (dua dari kanan) dan Zamri (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah dalam BISA 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada Rabu. FOTO: Rosli Talib / Asril Aswandi
Image from: Lebih 30 usahawan terima pengiktirafan BISA 2026
Stevenmenyampaikan Anugerah Pilihan Juri kepada wakil Kumpulan Bank Rakyat. - FOTO: Rosli Talib / Asril Aswandi
Image from: Lebih 30 usahawan terima pengiktirafan BISA 2026
Steven menyampaikan Anugerah Pilihan Juri kepada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin. FOTO: Rosli Talib / Asril Aswandi
Image from: Lebih 30 usahawan terima pengiktirafan BISA 2026
Ella membuat persembahan dalam Malam BISA 2026 di Royale Chulan Damansara pada Rabu. FOTO: Rosli Talib / Asril Aswandi

PETALING JAYA – Lebih 30 usahawan dan organisasi daripada pelbagai sektor menerima pengiktirafan dalam Bisnes Sinar Harian Awards BISA 2026 yang berlangsung di Royale Chulan Hotel di sini pada Rabu.

Pengiktirafan itu merangkumi pelbagai bidang termasuk hospitaliti, fesyen, kesihatan, pendidikan, teknologi, peruncitan dan logistik yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Anugerah Pilihan Juri menjadi antara segmen paling mencuri tumpuan apabila lima entiti berpengaruh dipilih berdasarkan pencapaian luar biasa serta impak besar dalam industri masing-masing.

Antara penerima bagi kategori tersebut ialah Mydin Mohamad Holdings Bhd (Mydin), Casalwa Holdings, PKNS Bizz Point, Bank Rakyat serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA yang disifatkan sebagai peneraju dalam bidang masing-masing.

Penerima lain ialah Boustead Hotels & Resorts yang meraih pengiktirafan dalam kategori hospitaliti, selain Nurrifa bagi inovasi herba serta jenama Christy Ng sebagai peneraju jenama fesyen tempatan.

KDEB Waste Management pula diiktiraf dalam inovasi pengurusan sisa, manakala pereka fesyen Kashfi Zulkufli dan Casalwa Holdings masing-masing menerima pengiktirafan sebagai ikon dalam industri fesyen.

**media[3512887]**

Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA serta jenama Cuura pula masing-masing menerima Anugerah Hospitaliti Premium Wanita dan Anugerah Peneraju Jenama Kecantikan Tempatan selain SuperLife World pula dinobat sebagai penerima Anugerah Peneraju Inovasi Kesihatan Global.

Ratu rock negara,  Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin turut menerima Anugerah Inspirasi Usahawan Selebriti sekali gus membuktikan peranan selebriti dalam dunia keusahawanan semakin berkembang.

Selain itu, Mydin diiktiraf sebagai peneraju peruncitan, manakala Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Bank Rakyat masing-masing menerima anugerah berkaitan kelestarian korporat serta pembangunan usahawan.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pula dianugerahkan kepada Pengarah & Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris sebagai penghargaan terhadap sumbangan berterusan dalam industri pelancongan.

**media[3512883]**

Perasmian BISA 2026 disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

BISA 2026 merupakan platform pengiktirafan perniagaan nasional  bagi meraikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri media tempatan, Sinar Harian terus berperanan sebagai platform kewartawanan yang dipercayai, konsisten mengangkat kisah rakyat termasuk perjuangan dan sumbangan usahawan PMKS.

Penganjuran BISA 2026 turut mencerminkan komitmen dalam meraikan pemain industri dan usahawan yang bukan sahaja berjaya membina perniagaan mampan, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi serta masyarakat secara keseluruhan.

**media[3512880]**